Penyanyi baru Zack Zakwan bersyukur apabila diberi peluang untuk bekerja dengan komposer senior, Zul 2by2.

Malah, menurut Zack, ia sebenarnya satu penghormatan buat dirinya, tambahan pula lagu- lagu sentuhan dan ciptaan Zul tidak pernah menghampakan dan menjadi malar segar hingga ke hari ini.

“Penyanyi baru seperti saya memang memerlukan lagu yang bagus dan mempunyai melodi yang boleh buat orang turut nyanyi bersama.

“Saya bimbang jika dapat lagu yang tangkap muat sahaja, orang takkan perasan akan kewujudan saya dalam industri ini.

“Sebab itu bila di dengarkan lagu ini saya sangat teruja,” katanya.

Menurutnya, single Terluka ciptaan Zul manakala lirik oleh Pujangga Malam dan Anje Maya itu merupakan lagu balada yang pastinya akan mengimbau kembali zaman kegemilangan kumpulan remaja lewat 90-an dan ke atas .

“Sumpah lagu ni best sangat, bila dengar melodi lagu ni mula-mula saya terbayang kumpulan New Boyz, boboy, Spin dan lain lain.

“Tapi Bila lagu sedap pasti cabarannya besar juga. Untuk mendapat feel lagu ni sewaktu di studio saya memang perlukan bimbingan Abang Zul.

“Di awal rakaman saya perlu ambil sedikit masa untuk menjiwai lagu ni, tapi serius best gila bekerja dengan abang Zul.

“Ini satu pengalaman yang baru buat saya bila bekerja dengan komposer yang teliti macam abang Zul.” katanya.

Untuk makluman, Terluka merupakan single keempat Zack Zakwan setelah Kenangan, Diselubung Rindu dan Bagaimana (Duet bersama Muna Shahirah).