Gaya Hidup

Tak Lengkap Percutian Ke Sabah Tanpa Melawat Little New Zealand Di Ladang Lembu Kundasang!

gempak
Azwa Rahman
15/07/2020
05:32 MYT
Sponsor Banner
Tak Lengkap Percutian Ke Sabah Tanpa Melawat Little New Zealand Di Ladang Lembu Kundasang!
Kalau nak menikmati udara sejuk, segar dengan permandangan indah ladang lembu bak di New Zealand, kini anda boleh pergi ke negeri Sabah.
Tanpa perlu keluar ke luar negara, anda boleh berkunjung ke Desa Cattle Dairy Farm, Mesilau, Sabah. Cukup saujana mata memandang!
Terletak di kaki Gunung Kinabalu, Desa Cattle Dairy Farm menawarkan pemandangan yang cukup berharga buat pencinta alam.
Berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu dan pergunungan indah di Kundasang, Desa Cattle Dairy Farm harus ada dalam destinasi wajib kunjung anda apabila ke Sabah.
Tarikan utama sudah semestinya ladang lembu yang berjaya menghasilkan 900,000 liter susu setahun.
Dengan keluasan seluas 199 hektar, tempat ini menawarkan susu yang cukup berkualiti tinggi dan segar dari ladang!
Malah, jangan terkejut jika anda ternampak pasangan merpati dua sejoli sedang merakamkan gambar kenangan perkahwinan mereka disana kerana Desa Cattle Dairy Farm juga sering menjadi lokasi bagi sesi fotografi perkahwinan.
Kalau anda merancang perjalanan ke sini, ambil peluang untuk memberi makanan kepada anak-anak lembu dan kambing. Makanan bagi haiwan-haiwan ini ada dijual kepada pengunjung.
Untuk lebih merasai tempat ini, nikmati produk tenusu keluaran Dairy Farm antaranya susu segar, gelato, aiskrim, puding, yogurt dan keju dengan harga yang sangat berpatutan.
Selain makanan dan minuman, anda boleh membawa pulang buah tangan berupa T-shirt, poskad, magnet peti ais, pelekat dan sebagainya yang ada disediakan di kedai cenderamata. Pahatkan memori indah anda di Desa Cattle.
Cara ke sana: Terletak di Mesilau, 100km dari Kota kinabalu, anda boleh menyewa kereta dan memandu sendiri ke kawasan ini dan ia mengambil masa hampir 2 jam 30 minit.
Tiada pengangkutan awam yang terus menuju ke Desa Cattle Dairy Farm. Namun jika anda turun di pekan kundasang, anda boleh menaiki teksi untuk ke Desa Cattle yang hanya sejauh 10km dari pekan itu.
Lebih memudahkan, rancanglah untuk pemandu teksi itu tunggu sehingga sesi lawatan anda tamat dan kemudian pulang.
Waktu lawatan: 8:00 pagi - 5:00 petang (Setiap hari)
Harga masuk: Dewasa: RM5 Kanak-kanak: RM4 Fotografi perkahwinan: RM100 Percuma bagi kanak-kanak 6 tahun ke bawah
Aktiviti di Desa Cattle Dairy Farm 1. Pemerahan susu: 3:00 petang - 5:00 petang (setiap hari) 2. Pemprosesan susu mentah: 10:00 pagi - 2:00 petang (Selasa, Khamis dan Ahad) 3. Pemberian makanan kepada anak lembu: 9:00 pagi - 4:00 petang (Setiap hari)
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live