Laman Utama
“Tak Mengapa Orang Kecam, Saya Tak Serik Pun Jadi Penyampai Radio…” – Mark Adam
Penyanyi dan komposer Mark Adam mengakui tidak serik bergelar penyampai radio walaupun pernah dikritik warganet.
Menurut Mark, dia tidak pernah mengambil pusing kata-kata negatif, sebaliknya menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik.
“Memang ada yang kecam ketika saya berkhidmat sebagai penyampai radio dulu, tetapi lebih ramai yang memberi semangat.
“Saya tidak pernah serik dalam melakukan sesuatu kerana saya masih dalam fasa belajar. Saya bukan tidak pernah dikritik dalam lapangan lain yang saya ceburi sebelum ini.
“Tetapi semuanya saya jadikan sebagai pemangkin untuk terus majukan diri,” katanya.
Tambah Mark lagi, dia berbangga dengan pencapaiannya sebagai penyampai radio kerana bahasa Melayunya sudah semakin baik.
“Saya bangga kerana kerjaya sebagai penyampai radiolah bahasa Melayu saya semakin ada improvement.
“Selepas ini kalau ada stesen radio mahu melamar saya untuk posisi sama, saya anggap itu sebagai satu peluang.
“Saya percaya dalam hidup ini, bila kita dapat sesuatu peluang, jangan terus berkata tidak. Kita kena cuba dahulu dan harus ada keinginan untuk belajar dari situ. Kalau ada tawaran lagi, tentu saya nak cuba lagi,” katanya.
Mark berkata demikian semasa ditemui dalam sidang media Ceria Xtra #DudukRumah yang diadakan secara virtual pada petang Khamis.
Dilihat lebih kerap muncul dalam program komedi dan lakonan, Mark berkata dia tidak kisah sekiranya ada yang terlupa dia seorang penyanyi.
“Macam ni, saya terima mana-mana tawaran yang ‘datang dulu’. Lepas tu saya akan fokus, sebab saya tak mahu buat kerja sekadar melepaskan batuk di tangga.
“Saya cari makan, apa yang datang dulu itulah yang saya makan. Saya ada keluarga untuk disara. Kalau saya memilih-milih untuk bekerja, macam mana saya nak bantu keluarga saya.
“Saya bersyukur kerana Allah anugerahkan saya bakat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mark turut mengulas mengenai penampilannya dalam program Ceria Xtra #DudukRumah yang akan disiarkan ditayangkan bermula 10 September ini.
“Saya terima tawaran ini sebab program tersebut unik dan sangat menghiburkan. Bukan setakat suka-suka tetapi program ini juga merapatkan hubungan silaturahim saya dengan ahli keluarga.
“Walaupun hanya menjalani rakaman di rumah, Ceria Xtra #DudukRumah sangat fun! Kalau ada musim kedua saya akan masuk lagi,” katanya.
Selain Mark, Ceria Xtra #DudukRumah sebuah rancangan permainan atau ‘game show’ ini turut menampilkan 15 selebriti sensasi tanah air seperti Dato’ AC Mizal, Nabila Huda, Ajak Shiro, Shahrol Shiro, Sean Lee, Sarah Suhairi, Atu Zero, Zulin Aziz, Meerqeen, Norreen Iman, Erissa Puteri, Fikry Kiki, Bibi Qairina, Coki dan Aisar Khaled.
Program berformat ‘family variety’ atau variasi famili ini akan menemui penonton pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam di Astro Ceria (saluran 611).
Ceria Xtra #DudukRumah dihoskan oleh pelakon dan pengacara yang kian meningkat naik, Wafiy Ilhan.
Untuk pilihan alternatif, program ini juga boleh ditonton di platform On Demand dan Astro GO pada bila-bila masa, di mana jua anda berada.
Must-Watch Video