Pelawak dan usahawan terkenal Shuib menegaskan jutawan kosmetik Datuk Seri Vida bukan individu yang sedang dikenalinya ketika ini.

Kata Shuib kepada Harian Metro, dia bagaimanapun selesa berkawan dengan Vida hanya untuk urusan bisnes makanan yang sedang diusahakan bersama-sama ketika ini.

"Vida bukanlah individu yang sedang saya berkawan sekarang. Walaupun ramai yang cuba meneka dengan menamakan beberapa individu lain tapi identitinya biarlah rahsia sebab kami masih dalam peringkat perkenalan.

"Sebenarnya saya dengan Vida sudah lama berkawan sejak arwah Siti Sarah masih ada lagi. Kami sama-sama berkolaborasi menjalankan perniagaan Unagi.

"Jadi tak mungkinlah saya akan bercinta dengannya. Lagipun kami berdua tak sepadan sebab dia memiliki pengaruh yang terlalu besar dan memiliki segala-galanya.

"Sementara saya mencari seseorang yang sederhana dan mampu menjaga anak-anak saya yang masih kecil sebaik mungkin," ujarnya.

Sesiapa sahaja jodoh yang bakal hadir dalam hidupnya, kata Shuib wanita terbabit perlu mendapat persetujuan ibu serta anak-anaknya.

"Kalau boleh soal jodoh ini saya tak mahu bercerita sangat sebab terlalu sensitif. Lagipun jodoh ini rahsia Allah. Saya boleh merancang dengan siapa yang saya nak berkawan tapi tak tahu adakah dia jodoh terbaik saya.

"Cuma andai satu hari saya terbuka hati untuk berkahwin, wanita ini perlu mendapat persetujuan daripada ibu dan anak-anak saya terlebih dahulu," katanya.

Vida sebelum ini memaklumkan tidak menolak seandainya ditakdirkan bercinta dengan Shuib yang disifatkan punyai ciri-ciri lelaki idamannya.

Sumber: Harian Metro