Laman Utama
“Tak Nak Lah Give-Up Macam Dulu” – Ayu Damit Tampil Dengan Single Permata
Penyanyi Ayu Damit menarik nafas lega kerana akhirnya tampil dengan single berjudul Permata selepas lima tahun tidak muncul dengan produk nyanyian.
Pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh itu turut mengakui penyertaannya dalam program realiti tersebut antara sebab kembali aktif dalam bidang nyanyian.
“Sebelum menyertai GV7, nama Ayu Damit seakan tenggelam timbul. Memang GV7 merupakan
platform kepada saya untuk kembali memeriahkan dunia hiburan tanah air.
“Bila dah masuk GV7, itu adalah pentas untuk Ayu keluar balik dalam industri bila orang dah lama tak tengok Ayu. Bila lepas GV dan keluarkan produk, itu satu promosi yang bagus.
“Sekurang-kurangnya, peminat tidak akan melupakan kita sebaik saja program itu tamat. Ayu harap perkara ini berkekalan dan Ayu akan teruskan lagi perjuangan dalam bidang seni.
Kalau dulu, Ayu berfikiran, kita buat lagu tapi tak mainpun kat radio, dan cepat putus asa. Sekarang ini, follower pun dah ada, Ayu rasa peminat pun dah nampak balik kehadiran Ayu dan kena teruskan perjuanganlah, tak boleh nak give up seperti dulu,” katanya bersungguh.
Menurut Ayu, single Permata yang dicipta dan ditulis oleh Mohd. Atlas bersama Zimi Sofazr itu dirakam sewaktu masih menyertai GV7 sebelum program tersebut berakhir.
Lagu bergenre balada dan diterbirtkan syarikat Saudagar Seni itu dirakam di Pro Studio, Cheras, Selangor.
“Masa Ayu sibuk dengan GV7 lagi, Datuk Gulzar (Mohd Atlas) ajak jumpa sebab sebelum ini Ayu pernah bekerjasama dengan beliau.
“Bila berjumpa, Datuk hasilkan melodi dan lirik dalam tempoh satu malam, ciptaan Mohd. Atlas dengan Zimi. Pada malam itu juga kami terus sesuaikan melodi dan lirik sehingga ke pagi.
“Ayu tertarik bila tengok liriknya yang banyak maksud tersirat. Lagu ini khas untuk pasangan suami isteri. Kalau untuk Ayu, suami (Syed Fauzi Syed Baharuddin) yang jadi tulang belakang kepada perjuangan Dalam lirik lagu itu semua ada maksudnya,” kata Ayu yang menjalani rakaman dari pukul 5 petang sampai 8 malam saja.
Ayu yang popular dengan lagu Hanya Di Mercu (2008) dan kali terakhir tampil dengan single pada 2016, Dari Hati, mengakui sedikit bimbang sewaktu berada di studio rakaman.
“Tak kekok sangat, cuma Ayu bimbang tentang pengawalan suara dekat mikrofon, itu saja. Yang lain alhamdulillah, Ayu dapat buat.
“Sebenarnya untung juga, rakaman dibuat sewaktu Ayu masih menyertai GV7 kerana ketika itu suara sudah biasa digunakan untuk nada tinggi atau rendah.
“Kalau ikutkan, lepas rakaman lagu dalam studio nak buat video muzik, dah siap rancang semua tapi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tak boleh nak shoot. Jadi akan keluar video lirik dulu,” jelasnya.
Tambah Ayu, walaupun tak berpeluang menjalani penggambaran video muzik lagu Permata, namun video lirik dikeluarkan dahulu sebelum menunggu waktu yang sesuai untuk penggambaran.
Video lirik Permata sudahpun dilancarkan pada 29 Januari, jam 9 malam, di saluran YouTube Saudagar Seni Media.
Ibu kepada Syed Nashrul Haikal, 12, Sharifah Alya Aryana, 9 dan Syed Aqif Najmi, 6, itu berharap penampilannya menerusi single Permata dapat mengembalikan keceriaan perjalanan kerjaya seninya.
Must-Watch Video