Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan seorang lelaki yang tular kerana menghina warga emas telah dikenakan kompaun kerana gagal memakai pelitup muka.

Beliau berkata lelaki tersebut telah dikenakan kompaun RM1,500 kerana gagal memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah di Pusat Gelandangan, Kuala Lumpur.

Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki terbabit telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira kira jam 5.20 petang Rabu.

"Individu di dalam video tersebut telah dipanggil ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berkaitan insiden di Pusat Transi Gelandangan Kuala Lumpur, Jalan Pahang.

"Dalam hal ini, polis Dang Wangi telah mengeluarkan kompaun kepada individu tersebut sebanyak RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka semasa berada di pusat tersebut," katanya menerusi sebuah kenyataan.

Kesalahan itu melanggar Peraturan 17 (1) Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021.

Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit menyampaikan ceramah motivasi bertajuk 'Ubah Hidup' kepada 20 orang gelandangan di pusat transit berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi Selasa.