Sering menerima persoalan berkaitan peribadi, pelakon Syafiq Kyle memohon jasa baik semua pihak untuk lebih memberi tumpuan kepada kerjaya seni sahaja.

Tiada perasaan rimas atau muak dengan soalan itu, namun Syafiq berasa terkilan apabila berita peribadi lebih ditumpukan berbanding karya-karya lakonannya.

“Saya nak jelaskan tentang kebimbangan saya. Saya bekerja dari bulan satu hingga sembilan tanpa henti dan saya ada beberapa promosi drama.

“Setiap kali saya hadir untuk promosi tidak ada satu pun yang memberikan fokus tentang drama saya.

“Saya rasa sedikit kecewa jadi tak mengapa, saya rasa tidak perlu lagi untuk dipanjangkan.

“Saya rasa semua orang dah faham dan tahu, jadi biarlah di situ. Sampai masa yang sesuai ia akan terjadi juga.

“Mungkin benda itu orang dah tahu, cuma tiada kepastian, biarlah ia begitu.

“Saya tidak salahkan sesiapa cuma nak minta jasa baik semua pihak untuk memberikan lebih fokus kepada promosi,” katanya ketika ditemui Gempak.

BACA: “Saya Tak Cakap Nak Kahwin Tahun Depan, Tolong Jaga Sensitiviti Keluarga Kami” - Syafiq Kyle

Syafiq ditemui di malam gala drama Astro Originals, One Cent Thief bertempat di Dadi Cinema, Pavillion Kuala Kumpur pada Selasa.

Bercerita mengenai One Cent Thief, Syafiq membawakan watak sebagai Iman Shah, seorang pekerja bank yang terdesak untuk membiayai kos rawatan dan dalam masa sama melangsaikan hutang bapanya kepada ceti haram.

Dengan menggunakan kepintarannya, dia telah menggodam sistem Bintang Bank untuk mencuri satu sen dari setiap akaun pelanggan.

Selain Syafiq, drama ini juga dibintangi antaranya oleh Azira Shafinaz, Faizal Hussein, Amerul Affendi dan Sofia Jane, Aghonderan Sahadevan dan Fabian Loo

One Cent Thief merupakan drama premium diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang pernah menggemparkan Malaysia sebelum ini dan diolah untuk menghasilkan sebuah jalan cerita baru dengan diselitkan nilai komersial.

Saksikan One Cent Thief bermula 8 Oktober, setiap Sabtu, jam 9 malam.

Buat pertama kalinya drama premium di bawah jenama Astro Originals akan ditayangkan serentak di empat saluran berbeza bahasa iaitu Astro Ria HD (saluran 104), Astro Vinmeen HD (saluran 202), Astro Shuang Xing De (saluran 307) dan PRIMEtime (saluran 704).

Penonton juga berpeluang menonton setiap episod baharu seminggu lebih awal daripada tayangannya di saluran linear setiap Sabtu jam 12 tengah malam menerusi strim di platform Astro Go atau On Demand.