Tidak sampai dua tahun, bapa kepada pelakon Anzalna Nasir iaitu Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, 62 telah ditamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Selaras dengan kelulusan YB Menteri Komunikasi dan Digital melalui surat bertarikh 5 Mei 2023, Finas sebagai Pihak Berkuasa Melantik dengan menamatkan perkhidmatan beliau berkuat kuasa pada 1 Jun 2023 (Khamis) dengan bayaran satu (1) bulan gaji bagi menggantikan notis.

Menerusi kenyataan rasmi, sebagai wakil, Pengerusi Finas iaitu Datuk Kamil Ahmad Datuk Mohd Othman mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan beliau sepanjang menjalankan tugas sebagai CEO.

“Bagi pihak Perbadanan, saya mengucapkan terima kasih atas khidmat yang diberikan oleh YBrs. Profesor Dr. sepaniang menjalankan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas dan selamat maju jaya,” katanya menerusi kenyataan rasmi.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) iaitu Dr. Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London turut mengesahkan perkara itu kepada Gempak dengan berkongsi kenyataan rasmi Finas.

Pada 31 Oktober 2021, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelantikan Md. Nasir sebagai CEO Finas bagi tempoh dua tahun yang sepatutnya berakhir pada 30 Oktober 2023.

Md Nasir mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.

Md Nasir yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Sains Malaysia pada 1986 adalah bapa kepada lima anak perempuan termasuk pelakon, Anzalna, Afifah dan Mia.