Laman Utama
Tak Sia-Sia Joe Flizzow Nyanyi Dalam Kubur! Muzik Video 'Satu Malam Di Temasek' Menang Anugerah Di International Music Video Awards
Muzik sememangnya universal dan bahasa yang digunakan dalam sesebuah lagu tidak pernah menjadi penghalang untuk berkongsi intipati sesebuah karya.
Teori ini kerap terbukti dan kali ini lewat keajaiban yang dicipta dari muzik Hip Hop Malaysia, lagu terbaharu Joe Flizzow berjudul Satu Malam Di Temasek (SMDT) berjaya mencuri perhatian dunia berkat video muziknya yang hebat.
Video luar biasa SMDT itu menerima pengiktirafan dalam bentuk ‘Anugerah Kehormat’ atau ‘Honorable Mention’ di International Music Video Awards di Budapest pada 4 Ogos yang lalu untuk kategori video muzik hip hop terbaik.
Edwin Raj, selaku penerbit eksekutif video muzik tersebut menyatakan bahawa sebagai sebuah syarikat yang menerbitkan video muzik khasnya berkonsep hip hop, ia suatu pengiktirafan yang sangat berharga bukan sahaja di peringkat tempatan tapi juga antarabangsa.
“Kami sangat gembira dengan anugerah khas ini di International Music Video Awards untuk kategori video muzik hip hop terbaik,” kata Edwin.
Terbitkan sesuatu tak pernah dibuat orang!
Saat ditanya apakah cabaran terbesar untuk memenangi anugerah ini, Edwin berkata membuat muzik video ini sebenarnya satu cabaran yang besar.
“Idea Diffan selaku pengarah memang segar dan berbeza. Saat menerbitkan sesuatu yang belum pernah dibuat orang, pasti ada cabaran. Yang penting bagaimana kita mengatasinya, dan nasib baik kami mampu mengatasinya.
“Kita mesti cuba sesuatu sekali. Kami menghantar video itu untuk penyertaan dengan pemikiran “belum cuba, belum tahu”. Kami sudah siap dengan apa sahaja keputusan yang bakal terjadi, tapi sudah tentu menyimpan harapan untuk menang,” tambah Edwin.
Gali kubur
Edwin juga percaya punca kemenangan video tersebut adalah perbezaan yang ditampilkan serta keberanian melakukan sesuatu di luar ruang selesa mereka.
“Kami menggali sebuah kubur dan Joe menyanyi di dalam kubur itu untuk video ini, ia memang gila! Ia juga lebih artistik dan pesanannya juga sangat subjektif. Kami nampak banyak komen penonton dengan interpretasi masing-masing, dan inilah yang membuat ia menarik.
“Anugerah ini adalah satu peringatan mengapa kami lakukan kerja kami. Untuk mencipta dan membuat benda yang berbeza dari kebanyakan orang.
"Untuk pihak penerbitan, saya harap mereka bangga dengan anugerah ini dan akan terus membuat karya hebat selepas ini. Ia satu penghargaan dapat bekerjasama dengan anda semua,” ujar Edwin penuh bangga.
Dengan lebih banyak projek menanti, pasti lebih banyak karya berkualiti dari Malaysia bakal mencuri perhatian di masa hadapan.
Tentang Anugerah Muzik Video Antarabangsa
Misi Anugerah Muzik Video Antarabangsa (IMVA) adalah untuk memperluaskan sempadan pembikinan filem tradisional dengan mencipta "simfoni visual" di mana muzik menjadi peranan utama. Demonstrasi muzik video antarabangsa adalah untuk memperluaskan dan meraikan mereka yang menggabungkan dua platform yang hebat iaitu muzik dan filem.
Must-Watch Video