Berita
"Tak Suka Berhutang" - Masya Masyitah Beli Rumah Bayar Cash RM300,000 Pada Usia 19 Tahun
Penyanyi Masya Masyitah mendedahkan bahawa rumah yang didudukinya kini merupakan kediaman miliknya sendiri yang dibeli secara tunai tanpa menggunakan kemudahan pinjaman bank.
Menurut Masya atau nama sebenarnya, Siti Nur Masyitah Yusoff, 20, rumah jenis kondominium yang berharga RM300,000 itu berjaya dibeli pada tahun lepas menggunakan wang simpanannya hasil daripada habuan kemenangan yang dimenanginya dalam mana-mana pertandingan nyanyian.
"Saya tak suka nak berhutang sebab nanti kena bayar 'bunga'. Jadi saya pilih untuk beli secara tunai sahaja rumah tersebut.
"Itu merupakan duit yang saya kumpul sejak kecil lagi. Bila menang, dapat duit saya akan simpan di ASB (Amanah Saham Bumiputera). Jadi di situ dapatlah dividen setiap tahun," katanya kepada Astro Gempak.
Masya ditemui sewaktu sidang media kempen 'Malaysiaku, Kita Selamat Bersama' sempena sambutan Hari Kemerdekaan di TPC Kuala Lumpur.
Katanya lagi, kebiasaannya wang kemenangan yang diperoleh sekitar lingkungan RM5,000 bagi satu-satu pertandingan.
"Kalau program pertandingan nyanyian di televisyen, lagi tinggi jumlah yang dapat sehingga RM20,000," katanya yang merupakan juara program realiti, Ceria Popstar pada 2014.
Menurutnya lagi, pada usia muda, dia berjaya memiliki rumah dan kenderaan sendiri hasil wang daripada penglibatannya dalam dunia nyanyian selama ini.
"Cuma, masa beli kereta, ibu saya nasihat untuk tidak bayar secara tunai. Kalau ikutkan saya menang nak bayar tunai sahaja.
"Katanya, bimbang kalau saya nanti mungkin nak tukar kereta kemudian hari," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, menerusi kempen 'Malaysiaku, Kita Selamat Bersama', Masya tampil berkolaborasi menyanyikan lagu tema berjudul Sehati Malaysia bersama Syamel, Ara Johari, Sufi Rashid, Putera Abigail dan Lil. J.
Must-Watch Video