Gaya Hidup
"Tak Susah Pun Cari Minah, Bulu Matanya Lentik... Minah!!!" -Remy Ishak Imbau 'Chemistry' Bersama Minah
Berkongsi dua keping gambar Muhammad Syukor Khamis bersama kerbau-kerbaunya yang diambil oleh Nazri Sulaiman, pelakon kacak Remy Ishak turut bercerita tentang pengalamannya ketika kecil.
Menurut Remy, setiap kali dia menatap gambar-gambar tersebut, ianya mengembalikan ingatannya ketika dia berumur 10-11 tahun ketika di Melaka.
"Tiap kali tengok gambar ni teringat pula masa umur 10-11 tahun, di Melaka. Bapa saudara, ‘Pak Ndak’ ada sekor kerbau betina, ‘Minah’ nama dia. Seekor tu je lah kerbau dia.
"Tiap pagi dia lepaskan Minah, saja dibiarkan Minah masuk dalam kawanan kerbau orang lain, yang ada kerbau jantan," tulis Remy di Twitter miliknya.
Menurut Remy, setiap kali sebelum Magrib, menjadi tugasnya untuk membawa balik kerbau bernama Minah itu dan ditambatkan di hadapan rumah neneknya.
"Sebelum maghrib kena pergi cari minah, pak ndak upah seringgit sehari untuk aku bawak minah balik dan tambat depan rumah nenek. Mula-mula memang susah nak cari, tapi lama-lama chemistry aku dengan Minah jadi kuat.
"Zaman tu ada bendang di Masjid Tanah. MINAH!!!! jerit je 2-3 kali nama dia, confirm dia datang, berlarilari.
Tapi kadang-kadang dia buat hal juga, dia buat tak tahu. Part tu yang kena masuk dalam kawanan dia, cari dan tenung sekor-sekor," imbas Remy lagi.
Tambah Remy lagi, tidak susah untuk mencari Minah dalam kawanan kerbau-kerbau lainnya kerana bulu mata Minah lentik.
Sebelum ini kisah Muhammad Syukor Khamis bersama kerbaunya menjadi tular kerana banyak kerbau peliharaannya bersama ayahnya Khamis Jusoh, mati dikatakan akibat wabak Hawar Berdarah.
Must-Watch Video