Mula ditayangkan sejak Khamis lalu, filem komedi seram iaitu Hantu Ke Lima telah berjaya mencuri tumpuan ramai penonton.

Menerusi pemantauan Gempak di Twitter, rata-ratanya memuji jalan cerita filem ini yang dikatakan agak berbeza dengan filem seram sebelumnya.

Tambahan pula, filem ini menampilkan dua ‘ratu lawak’ negara itu Elly Mazlein dan Shiha Zikir.

Digabung pula dengan Izzue Islam, Raysha Rizrose, Pu Azman, Adibah Noor serta dua selebriti media sosial Aisar Khaled dan Coki, filem ini mempunyai tarikannya tersendiri.

“Weh tengok pelakon pun dah tau filem ni best”.

“Not bad, seram tu terasa la, cuma aku tak boleh tahan gelak waktu Shiha dan Kak Lina Pom Pom masuk”.

“Shiha gelak atau kena rasuk, berdekah aku,” tulis beberapa netizen.

Difahamkan, pembikinan filem ini telah dijalankan sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu berakhir.

Pun begitu, sesi penggambaran berjalan dengan lancar meskipun dalam situasi yang amat mencabar dan perlu mengikuti SOP yang ditetapkan.

Untuk makluman, filem arahan pengarah Azhari Zain dan berdurasi 90 minit ini mengisahkan tentang Auni Qaisara Putri (Raysha Rizrose) mencari perlindungan setelah dianiaya oleh ibu tirinya Puan Sri Zaleha (Adibah Noor) dalam skim pelaburan saham yang merugikan.

Puncak Mahligai kediaman mewah peninggalan arwah ayah Auni yang dipelihara oleh Iskandar Syah (PU Azman) dan isterinya, Kam (Elly Mazlein) menyimpan seribu satu misteri.

Pada masa sama, TKO Studio yang diusahakan Taufiq (Aisar Khaled), Kent (Izzue Islam) dan Oya (Shiha Zikir) sedang dalam kejatuhan dan mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan Puan Sri Zaleha dalam mempromosi Puncak Mahligai untuk menarik minat pelabur.

Namun mereka kemudian berhadapan dengan pelbagai kejadian mistik.

Auni Qaisara Putri akan mempertahankan satu-satunya kenangan bersama arwah ayah dan ibunya di Puncak Mahligai.

Saksikan filem komedi seram, Hantu Ke Lima yang akan berada di ‘pawagam rumah anda’, Astro First hari ini.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.