Pelawak Shuk Sahar reda dituduh penipu dan sengaja mencipta drama kononnya gerai jualan airnya diserang semata-mata untuk viral dan pemasaran percuma.

Shuk ketika dihubungi Gempak berkata, dia sedar ketika ini jika menjelaskan perkara sebenar sekalipun akan tetap dituduh menipu.

“Saya reda jika ada yang kata saya ini penipu dan sengaja buat drama sebab nak viral atau free marketing.

“Tidak ada yang saya nak komen lagi mengenai insiden tersebut, biarlah apa orang nak kata kerana apa yang saya tahu, saya sedang mencari rezeki yang halal,” katanya.

Ditanya samada dia akan membuat laporan polis, Shuk berkata pemuda tersebut telahpun memohon maaf kepadanya menerusi mesej peribadi di Instagram (IG).

“Dari awal lagi saya tiding bercadang untuk membuat laporan polis. Cuma saya bersyukur kerana pemuda tersebut sudah pun memohon maaf.

“Dia DM saya di IG selepas mengetahui video yang saya rakam di Insta Story menjadi tular. Dia berjanji untuk bertemu saya dalam masa terdekat.

“Saya tidak menyimpan dendam dan saya maafkan dia serta bersedia untuk bertemu dengannya,” katanya.

Terdahulu, Shuk telah memuatnaik sepotong video gerai minumannya diserang seorang pemuda tidak dikenali ketika sedang berniaga di Wangsa Maju.

Pemuda tersebut juga bertindak agresif dengan menterbalikkan meja yang menempatkan dua tong air sehingga dia terpaksa menghentikan jualan.

Dalam perkembangan lain selepas kehilangan kerjaya sebagai penyampai radio, Shuk berkata dia yakin ada rezeki buatnya nanti.

“Saya tidak berputus asa. Saya hanya mahu fokus dengan apa yang saya buat sekarang iaitu kedai makan saya.

“Sabtu ini kedai makan saya di Denai Alam akan mula beroperasi dan saya berharap agar semuanya berjalan lancar,” katanya positif.

Tambah Shuk lagi, dia juga akan meneruskan perjuangan di pentas Muzikal Lawak Superstar selepas program tersebut dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdulillah masih ada rezeki buat saya. Terima kasih kepada semua yang selalu memberikan kata-kata positif dan semangat,” katanya.