Tinggal sehari sahaja lagi, panggung di seluruh Malaysia akan digegarkan dengan filem aksi komedi terbaik tahun 2020 iaitu Bulan & Pria Terhebat (BPT).

Filem yang dinanti-nantikan itu merupakan filem Malaysia pertama yang mengangkat wanita sebagai tunjang utama serta menampilkan aksi luar biasa sebagai ‘hero’.

Mendapat sentuhan pengarah Ghaz Abu Bakar, BPT dibarisi bintang hebat lain seperti Zizan Razak, Maya Karin, Khir Rahman, Alif Hadi, Bell Ngasri, Didie Alias, Aprena Menrose, Sein Qudsi, Rashid Ishak dan ramai lagi.

Secara ringkas BPT mengisahkan Bulan (Zahirah Macwilson) merupakan pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan.

Bulan bertemu Haris (Zizan Razak), seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.

Filem yang diterbitkan bersama oleh Astro Shaw, Nizra Entertainment dan Skop Production itu ditayangkan di seluruh pawagam bermula 12 Mac ini.

Apa yang membuatkan anda perlu ke panggung untuk menonton BPT? Gempak senaraikan 5 sebab mengapa anda wajib tonton!
  1. Dari Pengarah Filem Box Office, Polis Evo 1
Ghaz Abu Bakar bukan calang-calang pengarah, hasil sentuhannya sahaja telah berjaya menghasilkan filem pecah panggung, Polis Evo. Polis Evo tercatat sebagai filem pecah panggung di Malaysia apabila membuat kutipan tiket bernilai RM17.3 juta selepas ditayangkan selama 42 hari. Jadi bolehkah anda bayangkan, bagaimana pula hasil kerjanya untuk filem BPT? Pasti anda tidak perlu ragu lagi! Lebih-lebih lagi filem aksi seperti ini memang sudah menjadi ‘makanan’ pengarah.
  1. Filem Pertama Zahirah Yang Hebat
Bukan senang nak lihat pelakon wanita yang cantik dan manis seperti Zahirah Macwilson beraksi dalam filem atau mana-mana drama. Lebih-lebih lagi ini filem aksi pertamanya yang menampilkan pelakon ini sebagai ‘hero’ atau tunjang utama BPT. Tidak boleh disangkal lagi, Zahirah memang seorang pelakon yang hebat, aksinya di dalam BPT nampak kemas seperti professional. Ternyata dia bekerja keras untuk filem pertamanya itu. Malah puas menonton aksi hebat Zahirah yang tidak kekok bergasak dalam babak-babak aksi yang mencabar.
  1. ‘Hero’ Wanita
Mengangkat mesej ‘women empowerment’ filem BPT menampilkan wanita sebagai seorang yang lebih berani dan kuat melawan musuh. Selain Zahirah, aksi Maya tidak dinafikan sama hebat! Maya bukan sahaja sanggup melakukan aksi bergasak di atas bumbung bas tanpa bantuan pelakon lagak ngeri malah, dia juga menunjukkan aksi menunggang motor berkuasa tinggi. Penampilan pelakon wanita di dalam filem ini sangat hebat kerana tidak kalah dalam aksi yang selalunya didominasi oleh lelaki.
  1. Bujang Lapok Versi 2020
Dengar Bujang Lapok sahaja pasti ramai yang sudah mula tersenyum kerana teringat aksi lucu tiga pelakon lagenda P. Ramlee, Aziz Sattar dan S. Shamsuddin. Bayangkan konsep itu dibawa juga ke dalam filem ini apabila ia ditampilkan sendiri oleh Zizan Razak, Bell Ngasri dan Alif Hadi. Sebut Zizan dan Bell pasti sudah mula membayangkan unsur humor mereka. Sementara nama Alif Hadi mungkin tidak familiar bagi penonton tetapi gandingan mereka cukup mencuit hati serta tidak kering gusi. Kehadiran mereka menambah warna dalam filem itu.
  1. Penglibatan Arwah Ashraf Sinclair
Mungkin ramai tidak tahu, Allahyarham Ashraf hampir membintangi filem BPT apabila dia telah ditawarkan memegang watak antagonis iaitu sebagai Ricky yang kini dibintangi oleh Sein Qudsy. Namun Ashraf tidak dapat menerima tawaran itu kerana jadualnya penuh dengan komitmen berlakon di Indonesia ketika itu. Namun sebagai rakan artis yang menyokong filem tempatan, Ashraf turut membuahkan idea termasuk mencadangkan Zahirah sebagai peneraju utama BPT.