Berita
Tanya Doktor Musim Kelima Lebih Segar & Interaktif
Sambutan hangat terhadap program bual bicara Tanya Doktor membuatkan ia kini diteruskan.
Memasuki musim kelima, Tanya Doktor yang merupakan program khusus mengenai kesihatan terbitan Astro Prima dengan kerjasama strategik bersama pihak Karangkraf menerusi Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. hadir dengan pengisian yang lebih segar dan interaktif.
Program Tanya Doktor musim baharu akan berdurasi selama 60 minit menerusi paparan 10 buah episod secara eksklusif pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 16 Disember 2020.
Kembali dengan pengisian lebih segar dan interaktif untuk musim kelima, program Tanya Doktor bakal mengetengahkan pelbagai topik perkongsian menarik merangkumi kupasan komprehensif mengenai isu-isu semasa berkaitan kesihatan.
Bagi merancakkan lagi sesi perbincangan pada setiap episod, hos dan panel doktor juga akan berinteraksi dengan penonton di studio dan media sosial untuk saling bertukar tips, pengalaman serta pandangan yang membina. Lebih menyeronokkan, sesi aktiviti kecergasan dan senaman ringan juga turut diadakan di segmen terakhir untuk dimanfaatkan bersama.
“Kami amat gembira dengan penerimaan positif terhadap program Tanya Doktor yang merupakan platform utama dalam menyalurkan maklumat mengenai kesihatan.
"Sungguhpun inpati program ini jauh lebih serius berbanding program hiburan lain terbitan Astro, namun sambutan yang diterima membuktikan bahawa program sebegini juga relevan dan mampu menarik minat para penonton sehingga mendorong kami untuk meneruskan penerbitan Tanya Doktor untuk musim yang kelima.
"Senario ini mencerminkan perubahan sikap dan tahap kesedaran masyarakat yang kini lebih peka dan proaktif dalam usaha untuk mengambil berat mengenai kepentingan kesihatan dan risiko penyakit berbahaya," ucap Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh.
Sementara itu, selebriti popular Lisa Surihani masih lagi dikekalkan dan diberi mandat untuk mengendalikan program ini selaku hos bersama seorang lagi doktor residen iaitu Dr. Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr. Say.
Untuk musim ini juga, program Tanya Doktor turut menampilkan barisan panel doktor pakar daripada pelbagai bidang pengkhususan yang berlainan iaitu Dr. Ahmad Rostam Md Zin (Pakar Psikiatri Hospital Putrajaya), Dr. Liyana Dhamirah (Pakar Estetik) dan Dr. Lim Ing Kien (Pakar Dermatologi Estetik).
Rangkaian program Tanya Doktor akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Program Tanya Doktor akan berdurasi selama 60 minit menerusi paparan 10 buah episod secara eksklusif pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 16 Disember 2020.
Manakala klip kupasan pendapat berkaitan kesihatan dapat ditonton melalui kapsul Fakta Mitos Tanya Doktor pada setiap hari Isnin, jam 7.00 malam bermula 14 Disember 2020.
Kapsul Demo Medik Tanya Doktor yang menampilkan klip sedutan sesi demonstrasi yang berkaitan dengan topik kesihatan pula akan bersiaran pada setiap hari Selasa, jam 7.00 malam mulai 15 Disember 2020.
Instagram: @say_shazril
Must-Watch Video