Aktor Norman Hakim mengakui ada bertanyakan mengenai isu poligami kepada isterinya, Memey Suhaiza jika suatu hari nanti dia mahu berkahwin seorang lagi.

Norman berkata dia terkejut mendengar jawapan Memey yang akui bersikap lebih terbuka untuk membenarkannya berkahwin jika berkemampuan.

“Sebenarnya secara jujurnya buat masa ini sedikit pun tiada terdetik untuk berkahwin lagi, mungkin kerana tiada masa.

“Jika dulu masa usia 30-an mungkin ada kemahuan itu kerana dari luaran lihat bila berpoligami ini macam bahagia.

“Tapi sekarang saya fikir berpoligami ni bukan hanya kerana nafsu sahaja tapi perlu fikirkan tanggungjawab juga dan bila membayangkan semua itu, saya rasa tidak mampu.

“Saya dan Memey pernah bercakap mengenai isu ini dan kami hanya berborak secara matang dan terbuka. Memey kata semua itu ikut kemampuan jika suami mampu memberikan nafkaf zahir dan batin kepada isteri-isterinya dia tiada masalah.

“Bila Memey guna ‘reverse-pyschology’ begitu saya jadi kesian pula dengar jawapan dia dan jadi tak sampai hati,” katanya kepada Astro Gempak.

Norman kini sedang muncul dalam drama siri terbaharu The Maid yang menampilkannya sebagai Mr. Jay atau Jayden yang mempunyai empat orang isteri.

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam drama siri terbaharu original siri Gempak itu, Norman memberitahu ini pertama kali berlakon sebagai lelaki yang berpologami.

“Saya rasa pengalaman berkahwin empat ini tak akan dapat di dalam realiti atau seumur hidup saya dan saya akui seronok diberi peluang berlakon dalam drama ini.

“Ketika berlakon mempunyai empat orang isteri pun saya dah rasa sedikit tekanannya bila berpoligami.

“Bukan mudah rupanya, nampak sahaja bahagia tapi hakikatnya hanya mereka yang berada dalam situasi ini sahaja tahu,” katanya lagi.

The Maid merupakan siri original Gempak terbaharu yang ditayangkan setiap hari Rabu, jam 9.30 malam di Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104).

Karya yang mendapat sentuhan daripada pengarah filem pecah panggung ‘Bikers Kental’, iaitu Helmi Yusof dan terbitan oleh Michael Ang itu akan bersiaran selama setengah jam sebanyak 10 episod.

Selain Norman, The Maid turut menampilkan pelakon-pelakon seperti Sherry Al Hadad, Datin Paduka Eina Azman, Ezzaty Abdullah, Mira Filzah, Ieda Moin, Nadya Shahera, Zarina Zainoordin, pengacara Gempak TV iaitu Isha Norsham dan Siti Khadijah.

The Maid mengisahkan seorang lelaki bernama Jayden seorang penulis novel yang popular. Di mata masyarakat, Jayden dan empat isterinya hidup dengan penuh harmoni dan kasih sayang tetapi sebenarnya tidak. Setiap daripada mereka membenci antara satu sama lain dan hanya berpura-pura bahagia.

Bagaimana pun, hanya pembantu rumah mereka sahaja tahu cerita sebenarnya. Konflik timbul bermula dengan kematian isteri keempat Jay iaitu Elisa lakonan Mira Filzah. Elisa dijumpai mati ketika Jay dan isteri-isterinya mengadakan makan malam dan ketiga-tiga isteri Jay yang lain merupakan suspek pembunuhan.

Penyiasatan bermula dan rahsia demi rahsia milik isteri Jay telah dibongkar. Situasi menjadi lebih misteri apabila Citra lakonan Siti Khadijah Halim muncul sebagai pembantu rumah yang baru.

Siapakah dalang disebalik kematian Elisa? Semuanya bakal dibongkar dalam drama bersiri THE MAID setiap Rabu, jam 9.30 malam di Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104). Anda juga boleh strim di Astro Go, On Demand dan juga www.gempak.com