Aktres terkenal Bollywood, Priyanka Chopra, 39, memuji tindakan gimnas Amerika Syarikat (AS), Simone Biles, 24, yang nekad menarik diri pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 demi memfokus pemulihan kesihatan mentalnya.

Menerusi hantaran terbaharu di Instagram miliknya semalam, isteri kepada penyanyi, Nick Jonas, 28, itu memuat naik video lama memperlihatkan situasi dia sedang menemubual juara Olimpik empat kali itu sekitar dua tahun lalu.

Temubual Biles itu menjadi salah satu pengisi kandungan program berinspirasi, YouTube Originals Special; If I Could Tell You Just One Thing ditayangkan di akaun Priyanka Chopra pada tahun 2019 sehingga meraih hampir 15 juta tontonan dengan 126,000 tanda suka.

Dan sebagai tanda sokongan moral, Priyanka yang pernah menyandang gelaran Miss World 2000 itu mendedikasikan kapsyen motivasi - Role Model, Champion.. Simone Biles di hantaran sama sebelum menyambung entri panjang lebar.

“Peluang mengenali Biles secara lebih dekat beberapa tahun lalu menjadi pengalaman menyeronokkan buat saya apatah lagi terpesona dengan sisi kematangan dirinya dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Simone, semalam saya teringat semula kenapa anda selayaknya digelarkan Truly The GOAT (Greatest Of All Time) sejati. Dan tiada faktor lain daripada tubuh dan akal yang mampu mengawal sebenar manusia dengan sempurna.

“Sejujurnya, saya tidak ketahui sebesar mana tekanan dihadapi anda selama ini. Begitupun, sebaik saja anda memutuskan untuk memperbaiki tahap kesihatan mental, saya percaya ia bakal mengubah segalanya,” tulisnya penuh mengharap.

Waktu sama, Priyanka meluahkan kesyukuran kerana Biles memilih jalan hidup sendiri daripada terus dihambat tekanan karier sukannya serta ekspektasi pingat emas tidak berpenghujung daripada orang sekeliling.

“Tak salah pilih jadi manusia biasa. Anda merupakan antara contoh taulan terbaik. Seperti mana saya dan seluruh dunia menginspirasikan anda, keputusan menarik diri sekali lagi menunjukkan maksud sebenar bergelar juara!” kongsi Priyanka yang bakal muncul dalam filem Matrix 4 tidak lama lagi.

Terdahulu, Biles tidak mengambil bahagian pada aksi final individu all-around di Pusat Gimnastik Ariake semalam kerana mahu memberi fokus kepada kesihatan mentalnya.

Ini kali kedua dia menarik diri pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas enggan terbabit pada akhir acara berpasukan wanita all-around Rabu lalu.

Instagram: @priyankachopra