Laman Utama
Tarikh Bertembung Dengan Konsert Lain, Hattan Positif Konsert 35 Years Journey Dapat Sambutan; “Rezeki Masing Masing”
Penyanyi berprolifik Hattan akan tampil dalam konsert berskala besar yang akan berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jun ini.
Kini, pelaku seni dengan nama sebenar Mohd Shukri Shahabudin ini sedang giat melakukan persiapan bersama barisan pemuzik hebat dan berpengalaman yang akan mengiringi persembahannya pada malam bermakna tersebut.
Sementelah konsert tersebut adalah bersempena dengan perjalanan 35 tahun beliau bergelumang dalam dunia muzik.
Namun, hal yang menjadi persoalan dalam kalangan media adalah bagaimana beliau berdepan dengan situasi apabila terdapat sebuah lagi konsert besar yang akan diadakan pada tarikh sama. Konsert tersebut adalah Endemik Search yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Jun di Zepp Kuala Lumpur.
Sebagai seorang ‘pemain profesional’, Hattan tidak melihat pertembungan tarikh yang dipilih dua penghibur hebat tanah air itu sebagai isu atau masalah yang perlu diperbesarkan.
“Ya saya tahu dan positif. Rezeki masing masing, kita jalan terus dan saya berdoa bukan sahaja konsert Hattan - 35 Years Journey sukses, tetapi juga konsert rakan seperjuangan yang lain,” ujar Hattan sewaktu ditemui Gempak.
Malah penghibur kelahiran Negeri Sembilan ini mendedahkan beliau buat pertama kali akan mendendangkan untaian lagu dari album Ana Permata Timur yang pernah ‘diharamkan’ saat dipasarkan dahulu dalam konsert solo terbesarnya ini.
“Istimewa dan saya sangat bersyukur kerana untuk pertama kali, saya akan mendendangkan lagu lagu dari album Ana Permata Timur yang kena banned sewaktu dilahirkan dahulu.
“Ini adalah momen yang baik dengan penjalanan dan pencapaian 35 tahun saya dalam industri. Bersama lagu lagu dari album Ana Permata Timur, saya juga akan membuat segmen tribute Mentor khusus buat Datuk M Nasir.
“Ia berdasarkan album solo Mentor yang diterbitkan pada 1994 di mana saya merakamkan semula lagu-lagu popular nyanyian dan ciptaan M Nasir seperti Kepadamu Kekasih, Sekuntum Mawar Merah, Gerhana, Tiara dan Padang Lalang.
“Album itu adalah idea saya di mana saya rakamkan semula lagu-lagu M Nasir yang saya suka. Beliau banyak memainkan peranan terhadap perkembangan karier saya dari dulu hingga sekarang,” katanya panjang lebar.
Menurut Hattan, perkara yang lebih utama untuk difokuskan adalah persembahan yang akan dilakukannya dua hari tersebut mampu membuat semua pihak berpuas hati. Tidak akan sebuah persembahan yang berlebihan ‘jerit’ atau melompat, Hattan mahu peminat menikmati penjiwaan yang disampaikan dalam persembahannya kelak.
“Apa yang penting saya mahu Hattan - 35 Years Journey memberi impak yang baik bukan sahaja kepada diri saya kerana saya tidak pernah rasa diri sendiri seorang yang menjayakan sesebuah persembahan, tapi saya selalu rasa saya datang bersama kumpulan.
“Jadi secara tak langsung, Hattan - 35 Years Journey memberi income kepada pemuzik kita dan peranan kami adalah menghiburkan peminat dengan baik,” katanya lagi.
Menerusi konsert yang dianjurkan Mewah Event Management (MEM) tersebut, Hattan akan diiringi barisan pemuzik handalan diketuai pemain keyboard, Rozario yang turut bertindak sebagai Pengarah Muzik, Nan (gitar), Ritz (gitar), Ujang (dram), Fly (bass), Firdaus (keyboard) dan Pa’ang (perkusi).
Kurang tiga minggu konsert berlangsung, tiket pada tanggal 5 Jun telah habis terjual, sementara peminat masih boleh mendapatkan tiket pada 4 Jun 2022 untuk menyaksikan persembahan ‘berjiwa’ penghibur legenda ini.
Tiket untuk menyaksikan konsert anjuran MEM yang disokong West Ipoh Span Expressway (WISE) ini boleh dibeli di laman web https://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey/ dengan harga RM188 (upper tier), RM388 (silver), RM488 (gold), RM788 (diamond) dan RM988 (platinum).
Must-Watch Video