Penyanyi lagu Be Mine, Tasha Manshahar nekad untuk tidak akan kembali menyanyi lagi selepas ini.

Jelas Tasha, biarpun sudah dipujuk, pintu hatinya untuk menyanyi sudah tertutup dan ingin fokus kepada bidang yang bersesuaian dengan imej dan status dirinya sebagai seorang ibu.

"Saya takkan menyanyi balik tapi mungkin akan lagi giat melakukan perkara yang sesuai dengan imej saya.

"Buat masa sekarang memang saya tak ada plan untuk kembali menyanyi malah mahu ke fasa yang lebih sesuai sebagai seorang guru, ibu dan isteri.

"Rasanya lebih baik berikan peluang kepada penyanyi baru yang jauh lebih berbakat berbanding saya.

"Biarlah mereka pergi memandangkan minat saya dalam bidang nyanyian pun tidak macam dulu disebabkan perubahan fasa hidup," katanya kepada Gempak.

Tasha bagaimanapun tetap menyokong rakan-rakannya yang masih giat menyanyi antaranya Wany Hasrita dan Amira Othman.

Jelas Tasha lagi, pengalamannya selama lima tahun bergelar penyanyi sudah cukup membuatkan dia kekal dengan keputusan untuk meninggalkan dunia glamor itu.

"Pengalamn 5 tahun itu dah cukup... Sekarang ini bidang perguruan adalah bidang utama saya dan tak rasa ralat pun tinggalkan dunia glamor.

"Malah, pada mulanya menjadi penyanyi pun bukan glamor yang saya kejar.

"Ya, memang ada yang memujuk saya untuk kembali menyanyi tetapi semua individu punyai prinsip hidup sendiri dan saya tetap dengan pendirian itu," jelasnya yang lebih tiga tahun menyepi untuk memberikan tumpuan kepada keluarga.

Tasha telah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Raqib Majid pada 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Muammar Rafiqi yang berusia setahun.