Organisasi perkhidmatan IT global, perundingan dan penyelesaian perniagaan tersohor, Tata Consultancy Services (TCS) kini membawakan pertandingan popular anjuran mereka, Sustainathon ke Malaysia, menerusi cabaran TCS Sustainathon Malaysia 2021.

Bertemakan ‘Reimagining Education’, pertandingan bagi pelajar pengajian tinggi ini memberi tumpuan kepada isu berkaitan pembelajaran digital melalui pelaksanaan penyelesaian berasaskan teknologi dan inovasi.

Ketua TCS Malaysia, Jeevan Rajoo berkata, COVID-19 telah menyebabkan transformasi kepada masyarakat menerusi pelbagai cara, termasuk bidang pendidikan.

“Berjuta kanak-kanak, keluarga serta guru Malaysia terjejas dengan isu ketersambungan internet dan format pembelajaran yang baharu. Bagi kami di TCS, Sustainathon merupakan usaha untuk mengumpulkan idea, teknologi dan inovasi bagi menangani masalah dunia sebenar.

“Tahun ini, kami memberi fokus pada pendidikan, bagi membantu merapatkan jurang yang ada dengan menangani masalah keterangkuman dan keterbatasan. Di sini, kita perlu membayangkan, berfikir dan mencipta semula pembelajaran untuk masa depan yang lebih mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyeru untuk memastikan pendidikan inklusif dan saksama serta mengurangkan ketidaksamaan,” katanya.

Menerusi TCS Sustainathon Malaysia 2021, cabaran yang diperkenalkan memberi tumpuan dalam membantu pelajar memperoleh manfaat yang sama rata dan saksama daripada pembelajaran berasaskan digital, merapatkan jurang dalam kemahiran digital dan mengatasi batasan bilik darjah maya.

“Isu-isu yang kami tangani melalui TCS Sustainathon Malaysia 2021 bukanlah isu baharu. Daripada dasar baru-baru ini seperti Pelan Tindakan MyDigital yang bertujuan memastikan akses saksama kepada pendidikan berkualiti dalam talian melalui sambungan dan peralatan yang mencukupi serta pengoptimuman platform digital, alatan dan set kemahiran untuk pelajar dan guru, kepada dasar lama seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang platform maya yang disyorkan untuk pembelajaran kendiri dan mengatasi batasan geografi, telah diambil kira.

“Untuk mempercepatkan perubahan yang bermakna, kami berhasrat untuk mencapai 1,000 penyertaan dari seluruh Malaysia. Kami mahu mewujudkan gerakan untuk membayangkan semula pendidikan untuk anak-anak dan belia kami!” katanya.

TCS Sustainathon Malaysia 2021 terbuka untuk pelajar peringkat pengajian tinggi di Malaysia dari kohort pra-universiti hingga universiti dari mana-mana disiplin, termasuk pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institusi pendidikan teknikal.

Peserta boleh mengemukakan idea secara individu atau berpasukan yang terdiri sehingga lima anggota. Pelajar di bawah umur 18 tahun pada 20 September 2021 harus mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga masing-masing untuk menyertai pertandingan ini.

Sehingga enam pasukan atau individu yang disenarai pendek akan berpeluang untuk membentangkan kepada panel hakim pada Disember 2021. Pemenang 3 Terbaik akan diumumkan dalam Pusingan Akhir Malaysia yang akan diadakan pada Januari 2022.

Sebanyak 3 Penyertaan Terbaik masing-masing akan memenangi RM10,000, RM7,000 dan RM5,000, manakala penyertaan dengan Undi Dalam Talian Tertinggi dan pemenang Anugerah Pengiktirafan Khas masing-masing menerima RM2,000.

Dua penyertaan teratas juga akan mewakili Malaysia menerusi Finale ASEAN pada Mac 2022, yang akan melibatkan dua pasukan masing-masing dari Malaysia, Filipina dan Singapura. The Finale ASEAN akan menawarkan hadiah wang tunai AS$10,000 (RM41,000) untuk pemenang.

Ketika penganjuran TCS Sustainathon Malaysia 2021, para peserta akan mempunyai akses kepada pakar untuk membantu memperhalusi idea mereka, selain berpeluang mengembangkan idea kemenangan mereka untuk pelaksanaan dunia sebenar jika sesuai.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 November 2021. Maklumat lanjut layari https://www.sustainathon.tcsapps.com/events/ongoing/MY2021.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!