Peminat-peminat kedua-dua jenama serta penggiat-penggiat industri telah mula menumpukan perhatian kepada dua jenama streetwear terkemuka Malaysia sejak pengumuman tentang kolaborasi istimewa mereka yang bakal menggemparkan industri fesyen tempatan.

Debaran semakin terasa apabila kedua-dua jenama mengumumkan pula bahawa hasil kolaborasi mereka bakal ditampilkan sebagai meraikan acara fesyen paling terkemuka di Malaysia, Kuala Lumpur Fashion Week 2023 (KLFW23) yang berlangsung bulan ini.

Dikenali sebagai ‘Race Day’, pertunjukan Neonate X SVG ini akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 20 Ogos 2023, sehari sebelum jadual rasmi KLFW23 mula mengambil tempat pada 21 Ogos 2023.

"Panggilan terbuka bertujuan mencari model baru telah menarik bilangan peserta yang mengagumkan. Lebih daripada 700 muka-muka baru dari seluruh negara hadir ke sesi 2 hari panggilan terbuka kami.

"Daripada bilangan ini, kami telah menyenarai pendek 77 bakat baru yang kami anggap pilihan terbaik untuk mewakili kedua-dua jenama dan koleksi kami yang akan datang” ulas Karl Shafek, Pengasas dan Pengarah Kreatif Neonate Clothing Company.


Neonate dan SVG telah memulakan kempen mereka pada bulan Jun 2023.

Menyuarakan sentimen yang sama, Ashraf Anuar, Pengasas SVG Worldwide, antara jenama streetwear Malaysia yang paling popular masa kini turut menambah.

"Pada bulan Julai, model-model terpilih telah menghadiri Kem Latihan Model kelolaan Tinie, model terkemuka Malaysia yang mempunyai pengalaman luas bekerja dengan pereka tempatan dan antarabangsa.

"Ia merupakan kursus yang benar-benar intensif dengan jadual yang padat dengan masa yang amat terhad, justeru memerlukan komitmen penuh daripada model-model yang terlibat," katanya.

Diadakan pada hari Ahad (7 Ogos 2023) di Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur, Street Glare merupakan perhimpunan fotografer jalanan yang dianjurkan kali pertama tahun lepas oleh Neonate.

Tahun ini, Neonate dan SVG telah bergabung tenaga untuk membawa kembali program ini di bawah tunjuk ajar Hishamudin Hashim atau Abeden, seorang jurugambar yang disegani. Tampil bersama pasukannya (TKDNXV), ternyata Abeden telah berjaya membawa program ini ke tahap yang lebih tinggi.

Acara ini menyaksikan kehadiran lebih daripada 100 jurugambar, juruvideo dan pereka konten yang berpeluang mempelajari asas fotografi jalanan daripada Abeden serta menggunakan 77 orang model pilihan Neonate dan SVG sebagai subjek mereka.

Koleksi RACE DAY oleh Neonate X SVG akan dipersembahkan khas buat kali pertama pada 20 Ogos 2023 di Litar Antarabangsa Sepang. Untuk memastikan tetamu terhibur sebelum pertunjukan utama bermula, sebuah Karnival Mini turut diadakan di lapangan SIC pada hari acara.