Berita
Tengku Pemaisuri Selangor Kesal Dengan Insiden Keganasan Terhadap Anjing Terbiar
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin kesal dengan insiden yang tular di laman sosial melibatkan anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang cuba menangkap seekor anjing terbiar dengan cara ganas.
Menerusi sebuah kenyataan media, Tengku Permaisuri Selangor menggesa agar pihak-pihak berwajib lebih peka dan berperikemanusiaan dalam menguruskan kes-kes membabitkan haiwan-haiwan terbiar di jalanan.
“Saya amat kesal apabila diperlihatkan dengan satu klip video yang menunjukkan beberapa anggota MPSJ cuba menangkap seekor anjing terbiar secara ganas.
"Sebagai Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor (SFS), saya kecewa dan sedih kerana kejadian kejam seumpamanya masih berlaku dalam masyarakat meskipun banyak kempen kesedaran telah dilaksanakan membabitkan haiwan-haiwan terbiar.
"Di sini saya ingin menggesa agar pihak-pihak berwajib lebih peka dan berperikemanusiaan dalam menguruskan kes-kes membabitkan haiwan-haiwan terbiar di jalanan.
"Saya difahamkan kerajaan Negeri Selangor melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Ng Sze Han telah memohon maaf di atas tindakan kasar anggota MPSJ terbabit.
"Justeru, selepas ini saya berharap prosedur penangkapan haiwan-haiwan jalanan yang telah ditetapkan seharusnya dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan itu dan juga keselamatan kakitangan pihak berkuasa tempatan yang terlibat," titahnya.
Tengku Permaisuri Selangor juga memohon agar semua pihak menyemai sifat belas kasihan terhadap haiwan-haiwan terbiar yang memerlukan bantuan.
"Saya juga ingin menegaskan betapa pentingnya prosedur ini dijalankan dengan sebaik mungkin tanpa menyakiti atau mencederakan haiwan-haiwan terbabit.
"Dalam masa sama, prosedur ini juga perlu diperkemas dan dilaksanakan sesuai dengan situasi-situasi tertentu.
"Buat kesekian kalinya saya mohon agar semua pihak, tidak kiralah kakitangan pihak berkuasa atau masyarakat secara amnya, supaya menyemai sifat belas kasihan terhadap haiwan-haiwan terbiar yang memerlukan bantuan.
"Harus diingat, Akta Kebajikan Haiwan 2015 telah jelas memperuntukkan bahawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 dan/atau penjara sehingga 3 tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan.
"Sebagai Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor The Humane and Compassionate Way bersama SPCA Selangor, saya menggesa pihak berkuasa terlibat agar bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat yang prihatin, ke arah membanteras sebarang bentuk perlakuan kejam terhadap haiwan," titah Baginda lagi.
Must-Watch Video