Laman Utama
Terbaik! Jurukamera Awani Rupanya Cipta Tanjak Kontinjen Malaysia Di Temasya Olimpik 2020
Kemasan tanjak yang diperagakan oleh kontinjen negara pada acara pembukaan temasya Olimpik Tokyo 2020 menarik perhatian ramai.
Jika anda ingin tahu, ia adalah hasil tangan daripada warga kerja Astro AWANI, jurukamera Sallehin Hussain yang juga merupakan pengarang tanjak dari Tanjakfansuri.
Dia yang sememangnya meminati pakaian tradisional warisan Melayu itu akui rasa teruja sebaik melihat tanjak hasil tangannya menjadi tatapan jutaan rakyat dari seluruh dunia.
“Pada awalnya, saya rasa macam tidak percaya rekaan tanjak saya terpilih untuk dibawa ke acara pembukaan temasya Olimpik 2020.
“Mulanya, saya tidak percaya yang tanjak saya ini terpilih, pihak penganjur minta saya buat dua contoh tanjak yang mana mereka hantar pada saya kain dan saya buatkan tanjak itu.
“Jadi, apabila pihak tersebut telah berbincang dengan pihak terlibat dan mereka pun bersetuju. Maka, mereka pun hubungi saya balik untuk membuat pesanan mengikut amaun yang diinginkan," luahnya.
Sallehin yang menyaksikan upacara pembukaan temasya Olimpik Tokyo 2020 itu menyatakan rasa kagum apabila melihat tanjak yang dihasilkannya itu dipakai oleh kontinjen lelaki negara.
“Perasaan itu berkobar-kobarlah sementara menunggu giliran kontinjen kita di acara perbarisan itu, sejak awal perbarisan lagi saya dan anak-anak sudah tunggu depan televisyen.
“Dia punya rasa berdebar-debar itu macam saya yang nak bertanding di Olimpik, memang sukar untuk saya ungkapkan tetapi memang seronok rasanya.
“Apabila sampai sahaja giliran kontinjen malaysia itu, satu rumah itu riuh dengan anak-anak saya dan isteri saya semua riuh, memang rasa teruja dan banggalah apabila busana kita diperagakan di pentas dunia,” kata Sallehin.
Terdahulu, atlet negara melengkapkan langkah perbarisan di acara pembukaan Olimpik Tokyo 2020 dengan penuh rasa bangga.
Berpakaian segak bergaya, yang diinspirasikan dari pemakaian Laksamana Hang Tuah bagi atlet lelaki dan lengkap berdokoh serta berselendang bagi persalinan wanita.
Identiti Malaysia terserlah dengan pakaian yang berasal dari hasil rekaan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Kredit Foto: Awani
Must-Watch Video