Di atas sambutan luar biasa dari peminat Ungu, pihak penganjur Star Planet mengumumkan bakal menambah satu malam lagi konsert ulang tahun mereka di Malaysia pada 18 November 2022.

Menurut pihak penganjur, mereka mengharapkan malam kedua ini berjaya menggembirakan semua peminat.

“Tidak sampai satu jam setelah penjualan tiket dilancarkan pada 30 ogos, lebih 85% tiket habis dijual.

“Kami amat berbesar hati dan mengharapkan dengan penambahan persembahan kedua Ungu ini dapat menggembirakan semua peminat-peminat Ungu.

“Pembelian tiket boleh dibuat secara ‘online’ bermula 7 September, jam 12 tengahari,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sekadar info, kumpulan Ungu ditubuhkan pada tahun 1996. Kumpulan rock popular Indonesia tahun 90an ini dianggotai oleh vokalis Pasha, pemain gitar Enda dan Oncy, pemain bass Makki, dan pemain drum Rowman.

Pada tahun 2005, album mereka berjudul Melayang telah mencapai kejayaan besar sehingga meletakkan Ungu sebagai superstar di Indonesia dan benua Asia.

Konsert yang dianjurkan oleh Star Planet, Ungu’s 26th Anniversary Live in Malaysia akan diadakan pada 18 dan 19 November 2022, 8.30 malam bertempat di STAR Convention & Exhibition Centre, Menara PGRM di Kuala Lumpur.

Peminat boleh mendapatkan tiket di www.ticket2u.com.my dan ticket dijual pada harga RM188, RM238, RM328, RM388, RM458 dan RM598 (tertakluk kepada bayaran pemprosesan tiket RM4).

Semua pembeli tiket VVIP akan menerima poster bertandatangan kumpulan Ungu dan berpeluang bergambar berkumpulan bersama Ungu.