Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan beliau.

Beliau berkata, berkat doa orang ramai beliau kini sudah pulih daripada penyakit yang amat teruk.

“Saya ucap terima kasih kerana ramai yang berdoa untuk saya pulih dan hasilnya ialah saya telah pulih daripada satu penyakit yang bagi saya amat teruk,” ciapnya di laman sosial Twitter.

Menerusi perkongsian itu juga Dr Mahathir berkata beliau pernah berasakan dirinya tidak akan pulih daripada penyakit tersebut.

“Adakalanya saya tak berharap nak pulih, tetapi Alhamdulillah, dengan rawatan yang diberi di IJN (Institut Jantung Negara), saya pulih,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu kini sudah boleh berjalan, makan, tidur, duduk dan melakukan perkara yang hampir sama sebelum ini.

“Tapi tidaklah begitu kuat nak buat kerja apa semua. Tapi saya harap saya akan pulih,” katanya.

Dalam perkongsian itu, Dr Mahathir turut berkongsi foto bersiar bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Tasik Putrajaya pagi ini.

Pada 5 Februari lalu, Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU).

Dr Mahathir juga menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut sepanjang di pusat rawatan berkenaan.