Bekas isteri kepada Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan iaitu Ain ‘Afini Latif mengucapkan terima kasih kepada penceramah bebas itu kerana menguruskan dirinya dan bayi lelaki mereka.

Ain ‘Afini yang melahirkan anak lelaki pada Jumaat lepas di sebuah hospital di Shah Alam, telah memuat naik sebuah posting di Instagramnya pagi tadi (Rabu).

Menerusi posting tersebut Ain ‘Afini berkongsi rasa gembira dengan kelahiran bayinya dan PU Abu, selain berharap agar si kecil itu membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh.

“Alhamdulillah, selamat datang khalifah kecil umi ayah @puabu.official . Semoga membesar dengan sihat, menjadi anak yang soleh, penyejuk mata dan menjadi manusia yang memberi manfaat.

“Hiduplah dengan berkasih sayang. Sayangi diri, maafkan dan hargai diri sendiri. Secara tak langsung mudah jiwa ini memaafkan orang sekeliling, hidup terlalu singkat untuk mencipta tembok kebencian.

“Pilihlah pilihan yang menenangkan hati dan mendekatkan diri dengan redha Allah. Terima kasih family, ayah @puabu.official tolong uruskan makcik ni,” tulisnya positif.

Perkongsian Ain ‘Afini itu telah mendapat reaksi positif daripada pengikutnya dan memuji sikap pemaaf ibu muda tersebut.

Terdahulu, PU Abu telah mengumumkan mengenai kelahiran bayi mereka dan turut mendoakan anak sulungnya menjadi seorang anak yang soleh dan berbakti kepada Islam.

PU Abu turut memohon maaf kepada anaknya itu kerana, sepanjang berada dalam kandungan bekas isterinya dia sebagai bapa banyak melakukan kesilapan.

Selain itu, PU Abu turut berterima kasih kepada Ain ‘Afini kerana melahirkan anak mereka.

“Ayah mohon maaf sebab telah banyak buat salah pada awak di saat awak dalam kandungan.Jaga hati ummi elok-elok sebab banyak pengorbanan ummi sepanjang awak ada dalam perut ummi.

“@ainafini_ terima kasih kerana telah melahirkan anak hebat ini.Moga dia mewarisi kesabaran dan kekuatan awak sepanjang kandungkan dia,” tulisnya lagi.