Pelakon Hisyam Hamid, 35, mengakui ada menerima pelbagai mesej di Instagram termasuk godaan peminat biarpun dia sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata.

Hisyam bagaimanapun enggan melayan mesej yang diterima kerana tidak ingin mensia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh isteri, Rosmawati Hanafi.

"Sebagai suami, saya tidak sesekali mempersia-siakan kepercayaan diberikan isteri. Jadi, saya perlu menjaga batasan untuk mengelakkan perkara yang tidak sepatutnya.

"Jangan dilayan perkara-perkara macam itu. Kalau ada yang mesej nakal pun saya akan terus padam dan tak layan sebab saya tahu isteri dan anak-anak menunggu saya di rumah.

"Tapi takut juga nak cakap pasal hal ini ya. Bukan apa, takut Allah SWT nak uji. Tapi kalau boleh elak memang saya akan elak," katanya kepada Gempak.

Hisyam ditemui ketika sidang media drama Hatimu Sedingin Salju yang diadakan secara maya pada Khamis.

Dalam pada itu, pelakon drama Abang Bomba I Love You ini juga bersyukur kerana dikurniakan isteri yang sangat memahami dengan kerjayanya dalam dunia seni.

Kata Hisyam, isterinya sendiri akan menegur dan mengkritik sekiranya dia kelihatan kekok dengan pelakon gandingannya.

"Sebagaimana saya, isteri juga amat profesional dalam bab ini dan kerana itulah saya masih berada di sini.

"Diam tak diam, sudah tahun ketujuh saya bekerja di sini, seorang diri pula itu kerana keluarga semua berada di Singapura.

"Saya yakin tak mungkin tiada langsung rasa cemburu, tetapi dia seorang isteri yang memahami.

"Kalau dia lihat tiada keserasian antara saya dengan pelakon wanita yang digandingkan, isteri akan tegur seperti saya kelihatan kekok.

"Dia adalah pengkiritik tetap saya. Tanpa sokongan dia tak mungkin saya mampu bertahan sehingga hari ini," katanya lagi.

Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati Hanafi pada 2006 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Nurish Syameliah, 14, dan Haydeen, 12.