Terlajak Makan Durian Dengan ‘Tetamu’, Usahawan Kosmetik Akan Dipanggil Polis!
Kecoh sejak semalam apabila seorang usahawan kosmetik didakwa membuat video siaran langsung dia menikmati durian bersama beberapa tetamu.
Video tersebut kemudian viral hingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen.
Susulan itu, polis telah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada 4 petang semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Ku Mashariman Ku Mahmood,
pengusaha kosmetik yang juga selebriti media sosial akan dipanggil memberi keterangan kerana dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Tangkap layar dari media sosial oleh seorang individu pada Jumaat telah tular kira-kira 1.10 petang.
“Selebriti berusia 34 tahun itu sedang bersiaran langsung sambil menikmati buah durian bersama beberapa individu lain.
“Pengusaha kosmetik tersebut adalah seorang selebriti terkenal dan mempunyai ramai pengikut di media sosial,” katanya.
Tambah beliau, penularan tangkap layar video tersebut telah mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat kerana melanggar SOP Fasa Satu PPN.
“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP selain berhati-hati memuat naik atau berkongsi apa-apa kenyataan atau kandungan di media sosial supaya tidak mewujudkan satu spekulasi negatif yang boleh mendatangkan fitnah atau kemudaratan kepada ketenteraman awam,” katanya.