Laman Utama
Tersenarai 10 Finalis Terbaik Hadiah Guru Global 2020, Cikgu Sam Rancang Nak Tubuh Yayasan Orang Asli
Guru Adiwira, Samuel Isaiah meluahkan rasa syukur selepas tersenarai antara 10 finalis terbaik untuk Anugerah Hadiah Guru Global 2020.
Ketika dihubungi Gempak, Samuel, 33, menyatakan pencalonan itu bukan semata-mata untuk dirinya tetapi untuk anak-anak Orang Asli.
"Saya bersyukur dan berasa rendah diri kerana tersenarai dalam 10 finalis. Sebenarnya saya tak jangka pun. Saya cuma buat yang terbaik untuk anak murid dan rasa pengiktirafan ini bukan semata-mata untuk saya.
Advertisement
"Semuanya mengenai kehebatan murid-murid saya yang mengagumkan kerana selama ini masyarakat Orang Asli selalu dipandang rendah dengan kebolehan mereka.
"Saya rasa pengiktirafan ini telah menunjukkan di mata dunia bahawa orang kita boleh berjaya dan berkemampuan.
"Cuma kita perlu menggunakan teknik yang betul, pendekatan yang baik, engage dengan komuniti untuk mendapat hasil yang terbaik," katanya.
Sebelum ini, Samuel pernah tular kerana memperkenalkan ‘sekolah pokok’ dan pembelajaran menggunakan ukulele dalam kalangan muridnya yang berketurunan suku Jakun di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Muadzam Shah.
Malah, dia pernah dinobatkan sebagai penerima anugerah Guru Adiwira pada tahun 2019 dan anugerah Best Teacher Award Asean-Elt Conference 2018.
Sementara itu, Samuel atau lebih mesra dipanggil Cikgu Sam berkata dia merancang untuk menubuhkan sebuah Yayasan Orang Asli sekiranya kemenangan berpihak kepadanya.
"Rancangan saya sebenarnya agak besar. Secara speksifiknya saya ingin menubuhkan Yayasan Orang Asli yang membangunkan pendidikan dan juga social welfare.
"Yayasan ini saya akan tumpukan di komuniti saya dulu. Saya rasa apa yang cuba diperkenalkan adalah ia harus mengutamakan pendapat masyarakat Orang Asli.
"Pendapat masyarakat Orang Asli itu penting kerana mereka perlu terlibat dalam membuat keputusan untuk komuniti mereka," katanya lagi.
Pemuda berasal dari Kuantan ini berpeluang merebut hadiah wang tunai AS$1 juta (RM4.3 juta) dalam anugerah anjuran Yayasan Varkey yang berpangkalan di Dubai.
Selain Samuel, antara guru-guru lain yang turut disenaraikan adalah Ranjitsinh Disale (India), Olasunkanmi Opeifa (Nigeria), Jamie Frost (UK), Carlo Mazzone (Itali), Mokhudu Cynthia Machaba (Afrika Selatan), Leah Juelke (AS), Yun Jeong-hyun (Korea Selatan) dan dua lagi finalis yang akan diumumkan kemudian.
Anugerah ini dijadual akan berlangsung pada 3 Disember depan dengan menampilkan pelakon terkenal Stephen Fry sebagai hos.
Kredit Foto: Facebook Global Teacher Prize
Must-Watch Video