Pelakon Fasha Sandha, 37, meluahkan rasa kagum dengan semangat penghantar makanan atau 'rider' yang gigih keluar mencari rezeki diawal pagi Selasa.

Kebetulan terserempak di jalan raya, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan berkata hati dia tersentuh selepas ternampak 'rider' itu membawa sebekas makanan kucing untuk diberikan kepada kucing jalanan.

"Maafkan saya abang, saya ambil gambar ini curi-curi, sebab saya terlalu kagum dengan abang yang keluar seawal pagi selepas Subuh untuk mencari rezeki dan membawa bekalan untuk diberikan pada kucing di bakul hadapan.

"Kerana saya pencinta kucing, jadi saya macam emo sedikit.. Saya sempat melambai tangan pada abang ini, dalam hati saya, saya doakan agar abang dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan," tulisnya di Instagram (IG).



Dalam pada itu, pelakon filem Anak Mami Kembali turut meminta pertolongan daripada orang ramai untuk menghantar mesej secara peribadi sekiranya mengenali lelaki tersebut.

"Siapa yang kenal abang ni, tolong DM saya.. Saya ada perasan nombor plate ja, nombor 5513. Tolong DM ya.

"Terima kasih Foodpanda, anda adalah hero kami," tulisnya lagi.