Laman Utama
Tertangguh Lama, Syafiq Yusof Kongsi Pengalaman Sunting Filem Abang Long Fadil Di Rumah Ketika PKP
Pengarah Syafiq Yusof memberitahu yang dia mengambil tanggungjawab menyunting filem Abang Long Fadil 3 di rumah ketika pihak kerajaan mewajibkan semua menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar dua tahun lalu.
Menurut Syafiq, proses suntingan tersebut berjalan dengan agak perlahan memandangkan dia terpaksa melakukan semua tugasan bersendirian tanpa bantuan tenaga teknikal lain.
“Selepas tamat penggambaran Abang Long Fadil sekitar 2019, saya terus masuk ke set penggambaran Polis Evo 3. Dan ketika itu, ketika mahu pergi ke proses suntingan, COVID-19 melanda dunia.
“Seperti semua sedia maklum, semua kerja perlu diberhentikan dan saya sunting filem ini sendiri di rumah. Selalunya kita akan ke tempat berbeza untuk buat muzik, kesan khas dan colour grading.
“Namun, selepas perlu buat sendiri, ia makan masa yang agak lama. Sehinggakan, saya terfikir, jadi tayang atau tidak filem ni,” ujarnya berseloroh kepada Gempak.
Syafiq yang ditemui pada majlis pelancaran filem Abang Long Fadil 3 yang diadakan di ibu kota semalam berkata, dia memilih untuk menayangkan filem arahannya itu pada 8 September depan selepas melihat gaya tontonan audiens serta kebarangkalian untuk pihak kerajaan tidak menjalankan perintah berkurung (lockdown).
“Ketika awal tahun ini, saya mula lihat yang pihak kerajaan sudah tidak lagi mengadakan lockdown secara last minute. Tambahan pula, banyak filem-filem yang masuk panggung menerima kutipan yang memberangsangkan termasuklah Mat Kilau.
“Jadi, saya rasa 8 September merupakan tarikh yang bersesuaian untuk tayangan Abang Long Fadil,” katanya lagi.
Filem Abang Long Fadil 3 menyaksikan Fadil kembali dengan misi terbaru yang lebih berprofil tinggi. Fadil perlu menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han, namun dalam pada yang sama Fadil diburu oleh King Cobra atas dendam dahulu.
Selain Zizan yang memegang tonggak utama, filem Abang Long Fadil turut menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Johan, Elizabeth Tan, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Shuib, Kazar, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman, dan Siraj.
Must-Watch Video