Drama Projek High Council telah mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan penonton dan peminat.

Selain menggilai watak Kahar atau Kapla yang dimainkan oleh Amir Ahnaff dan Fakhri oleh Mierul Aiman, beberapa karakter lain dalam naskhah Anwari Ashraf dan Zulaikha Zakaria turut mendapat perhatian.



Salah satunya adalah watak Azam ‘Ayam’ Bin Anyau yang dijayakan dengan cukup cemerlang oleh Naim Daniel.

Selain mendapat pujian daripada peminat, watak Ayam juga dipandang tinggi oleh Mierul yang menjalani banyak babak bersama Naim.

Sebagai pendatang baharu, Mierul mengaku teruja kerana Naim menjadi cornerman atau ‘pendampingnya’ dalam drama yang mengangkat kisah kehidupan pelajar sekolah berasrama penuh tersebut.

“Saya memang excited, Naim Daniel memang seorang anak seni yang gifted. Semua yang dia buat menjadi dan beruntungnya saya sebab dapat banyak ilmu daripada Naim.

“Dia bukan sahaja tidak lokek, tapi sering berkongsi ilmu dan idea untuk menjadikan chemistry kami lebih kuat,” ujar Mierul.

Sementara itu Naim juga sempat meninggalkan kata-kata perpisahan buat Fakhri dalam laman Instagramnya.

Mengaku sayang dengan Fakhri, Ayam meminta agar sahabatnya itu menjaga diri dengan pesanan: “Terima kasih sebab sudi terima aku jadi sahabat kau.”

Ayam di dalam Projek High Council merupakan watak yang akrab dengan Fakhri sejak hari pertama dia masuk ke sekolah baru dan kelas 4 Jebat.

Perwatakannya yang lembut dan lucu menjadikan Ayam sangat berbeza dengan karakter Fakhri yang panas baran.

Malah Naim juga berjaya membina karakter Ayam seiring dengan cara berpakaian, bercakap dan perlakuan yang dibuat seperti dikehendaki pengarah.

Setakat ini, drama bersiri yang ditayangkan setiap Isnin pukul 9 malam di Astro RIA tersebut sudah ditayangkan sebanyak lapan episod. Projek High Council berbaki dua episod dengan pengakhirannya akan ditayangkan pada 18 Mac depan.