Pelakon popular, Rita Rudaini memuji usaha kerajaan Pahang yang membenarkan jemaah belum divaksin untuk menunaikan solat fardu dan Jumaat.

Menerusi posting di Instagram Storynya, Rita turut menitipkan rasa syukur dan berharap supaya pihak lain mencontohi pemerintahan Pahang.

“Alhamdulillah segala puji bagi Allah. Moga Pahang sentiasa dirahmati Allah.

“Tiada diskriminasi untuk yang belum vaksin untuk pondan atau pengkid ke masjid (dengan berpakaian ikut jantina),” katanya.

Jelasnya, perkara itu harus dipraktikan untuk menggalakkan orang ramai ke masjid.

“Sepatutnya lebih menggalakkan orang ke masjid. Ramaikan masjid bukan tempat pelancongan,” katanya.

Terdahulu menerusi laporan Berita Harian, kerajaan Pahang membenarkan kehadiran jemaah yang belum menerima suntikan vaksin menunaikan solat Jumaat dan fardu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kebenaran solat Jumaat dan fardu itu di masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah dan surau kebenaran solat Jumaat.

Katanya, kehadiran jemaah mengikut keluasan kapasiti masjid atau surau dan tertakluk kepada kemampuan serta kawalan.

"SOP baharu ini berkuat kuasa semalam, manakala SOP lengkap kepada semua pentadbir masjid dan surau di Pahang akan disediakan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

"Kehadiran jemaah adalah terbuka kepada semua sama ada yang sudah divaksin atau belum," katanya.

Sekadar info, nama Rita sebelum ini menjadi bualan hangat serta kecaman netizen selepas bertindak menyiar semula beberapa hantaran yang seakan menguatkan dakwaan dirinya tidak percaya dengan vaksin Covid-19.

Pun begitu, Rita tidak pernah mengakui dirinya anti vaksin malah berpendapat golongan yang enggan menerima suntikan vaksin tidak semestinya mereka seharusnya digelar antivaksin memandang keputusan itu adalah hak masing-masing.