Presiden Marvel Studio Kevin Feige mengumumkan perjalanan Marvel Cinematic Universe (MCU) fasa empat di Comic-Con International 2019: San Diego pada Ahad lalu.

Antara filem yang bakal menemui penonton dalam tempoh dua tahun akan datang ialah Black Widow, The Eternals, Thor 4: Love and Thunder dan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.

BACA: Siap Sedia, Perjalanan Marvel Fasa 4 Kini Bermula!

Namun, selepas melihat kesemua senarai filem ini, ramai peminat yang mempersoalkan hala tuju dan penerbitan filem Avengers seterusnya.

Menjelaskan perkara tersebut, Kevin Feige memaklumkan MCU fasa empat merupakan permulaan untuk pengembaraan baru untuk watak Avengers.

Menurut Kevin, Avengers: Endgame merupakan satu pengakhiran manakala fasa empat merupakan satu ‘permulaan’.

"Disebabkan itu MCU fasa empat lebih memfokuskan kepada pengenalan watak-watak baru dalam dunia MCU seperti Shang-Chi, The Eternals dan ramai lagi.

"Malah pasukan Avengers selepas ini adalah sangat berbeza dengan pasukan Avengers yang asal," kata Kevin menerusi satu video temu ramah di acara Comic-Con International 2019, baru-baru ini.