Laman Utama
Tiada Ganti, Perginya Seorang Legenda Bola Sepak Negara
Lagenda bola sepak negara, Datuk M Kuppan meninggal dunia di Kuala Lumpur petang Khamis.
Menerusi akaun Facebook rasmi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan takziah kepada keluarga bekas pemain era 60-an dan jurulatih kebangsaan pada dekad 70-an tersebut.
Kuppan yang dilahirkan di Bukit Mertajam pada 14 Oktober 1936, akan disemadikan di Butterworth.
Ketangkasan mendiang sebagai seorang penyerang mencetuskan jolokan Harimau Bintang atau the Black Panther from Penang, selain Jetboots.
Selepas menamatkan zaman persekolahan, Kuppan menjadi guru sementara sebelum berkhidmat untuk Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) selama 31 tahun.
Memulakan kerjayanya bersama Pulau Pinang sebagai seorang penyerang dan sayap kanan pada usia 19 tahun, Kuppan adalah anggota skuad Choo Seng Quee yang menjulang gelaran Pestabola Merdeka pada 1958, 1959 dan 1961.
Seangkatan dengan Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Sexton Lourdes, Edwin Dutton, Ahmad Nazari Min Zohari, Yusof Bakar, M. Govindaraju, Majid Ariff dan Rahim Omar, Kuppan turut menganggotai skuad negara yang mengutip emas di Sukan SEAP 1961 tetapi tidak terpilih ke Sukan Asia 1962 di Jakarta.
Mendiang meneruskan kerjaya sebagai jurulatih yang berjaya selepas menghadiri kursus kejurulatihan pada 1972. Selain menerajui kemenangan Pulau Pinang pada final Piala Malaysia pada 1974.
Sumber: Sinar Harian / Facebook FAM
Must-Watch Video