Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui teruja untuk mengadakan persembahan pertamanya selepas dua tahun pandemic melanda negara dalam Queen Of The Night Siti Nurhaliza pada 6 Ogos depan.

Menurut Siti Nurhaliza lebih teruja lagi apabila kesemua 450 penonton itu dihadiri oleh golongan istimewa B40 yang ditaja khas oleh Yayasan Metamorphosis.

“Pada mulanya saya agak terkejut bila diberitahu tiket sudah pun habis terjual selepas Yayasan Metamorphosis sendiri beli kesemuanya khas untuk golongan itu.

“Saya tak sangka sebab biasanya persembahan saya dihadiri golongan yang pelbagai latar belakang korporat sampailah peminat setia.

“Tapi kali ini dihadiri peminat istimewa terus terang saya teruja nak menghiburkan golongan B40 terpilih itu yang mungkin sudah lama teringin menonton 'show' saya,” katanya selepas sidang media persembahan tersebut.

Mengulas mengenai persembahannya nanti yang diadakah di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, jam 7 malam, Siti memberitahu ia bakal menjanjikan yang istimewa.

Tambah Siti, rangkaian 15 buah lagu yang akan dipersembahkan adalah berkisarkan mengenai wanita dan inpirasi.

"Saya akan berusaha memberikan persembahan terbaik untuk menghiburkan mereka pada malam itu nanti.

"Sebagai penyanyi yang menghiburkan penonton, tiada istilah 'double standard' dalam persembahan. Untuk saya, apa yang paling utama penonton mendapat kepuasan pada 'show' dijayakan.

Persembahannya yang dijangka berlangsung selama 90 minit itu bakal diiringi komposer dan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito.

Difahamkan, seramai 450 peminat Siti dalam kalangan Keluarga Malaysia, B40 terpilih dari seluruh negara yang terdiri dari golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal dan anak yatim akan hadir menyaksikan 'showcase' Queen Of The Night Siti Nurhaliza itu.