HIBURAN
Tiada Niat Mahu Bersaing, Soma Sertai ‘Perang’ Lagu Raya - “Saya Hanya Nyanyi Untuk…”
Penyanyi, Soma mengambil satu keputusan berani untuk melancarkan lagu rayanya, Aku Tetap Raya pada saat penyanyi popular lain juga sedang ‘berperang’ menyajikan karya masing-masing.
Soma atau Rosmah S. Sengari Basar menyatakan tidak mempunyai niat untuk bersaing namun hanya mahu mempunyai lagu raya dalam koleksinya.
“Saya tiada niat untuk bersaing, saya hanya menyanyikan lagu raya untuk menjadikan koleksi dalam album saya.
“Mungkin apa yang boleh saya harapkan ia boleh jadi lagu sepanjang zaman,” katanya.
Pada masa sama, pelantun lagu Perjalanan ini juga menyatakan sudah lama menyimpan hasrat untuk memiliki lagu raya sendiri lebih-lebih lagi selepas melancarkan album mininya pada tahun lepas.
“Saya memang nak juga sebab saya dah ada lima lagu, balada, pop dan rock jadi mengapa tidak saya keluarkan lagu raya, sebab itulah saya mahu lancarkan juga lagu raya pada tahun ini.
“Saya amat berterima kasih kepada komposer lagu ini iaitu Belle Fattah dan Adinda Amiro kerana sudi menghasilkannya” ujar Soma.
Istimewanya, Soma turut memasukkan elemen masyarakat majmuk seperti kaum Cina dan India dalam video muziknya.
“Kalau dengar melodi lagu ini, ada banyak elemen yang kami masukkan. Lagu ini kedengaran sangat ‘universal’, sangat sesuai kalau dinyanyikan dengan bahasa lain juga.
“Kami memang sengaja buat melodi sebegitu ditambah pula zaman sekarang sukar nak dapatkan lagu raya yang memang ketengahkan irama tradisional.
“Apa pun, saya gembira kerana diberi peluang muncul lagu raya sendiri pada hari raya tahun ini,” ujarnya lagi.
Dalam muzik video Aku Tetap Raya, Soma turut menampilkan beberapa selebriti terkenal iaitu penyanyi senior, Datuk Khadijah Ibrahim dan bekas model dan pelakon terkenal, Zahnita.
Sebelum ini, Soma juga pernah muncul dengan album solo iaitu Perjalanan yang memuatkan lima buah lagu Memori Bulan Disember, Bebaskan Aku, Curahan, Dugaan dan Perjalanan.
Must-Watch Video