Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus (UAI) tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam di negeri ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata ia berdasarkan hasil semakan pihak jabatan itu.

Beliau berkata, JAIS mengambil maklum mengenai pembatalan kuliah maghrib UAI yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

"Kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) / JAIS adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di Selangor.

"Semua individu yang mengajar berkaitan agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

"Pihak masjid/surau juga tidak boleh menjemput individu tiada tauliah mengajar yang diberi bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 Pindaan 2016," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, satu hantaran dalam Facebook rasmi Azhar memaklumkan, Kuliah Maghrib Perdana UAI yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, terpaksa dibatalkan
atas kuasa JAIS.

"Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di negeri anda. Oleh itu, kuliah maghrib pada 26 Februari 2023 ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya," tulisnya.

Sumber: Berita Harian