Skip to main content

Berita Tempatan

“Tidak Keterlaluan Saya Katakan, Saya & Tuanku Umpama 1 Roh, 2 Jasad”- Rizalman Ibrahim

rizalmantuanku.jpg
Pereka fesyen terkenal negara, Datuk Rizalman Ibrahim mendedahkan persahabatannya dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sejak 15 tahun lalu adalah amat istimewa.

Rizalman dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI tidak dapat menyembunyikan perasaan sebenar apabila bercerita mengenai Raja Permaisuri Agong yang baharu itu.

Katanya, Raja Permaisuri Agong dan beliau berkongsi minat sama termasuk dalam memasak sehinggalah kepada rekaan hiasan dalaman.

“Kalau nak diikutkan, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa saya dan baginda adalah satu roh dua jasad, yang mana saya dan baginda berkongsi pelbagai minat yang sama iaitu dari kraf tekstil, masakan, bidang perabot dan sehinggalah dalam hal sejarah.

“Disebabkan berkongsi minat yang sama maka kekallah persahabatan saya dan Tuanku sehinggalah baginda bakal dimasyhurkan menjadi Raja Permaisuri Agong,” katanya.

Rizalman, anak kelahiran Pulau Pinang berusia 47 tahun itu dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan persalinan Raja Permaisuri Agong serta anakanda-anakanda baginda, khusus untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, 30 Julai ini.

Berkongsi pandangan beliau lebih lanjut mengenai Raja Permaisuri Agong, Rizalman berkata, keperibadian Tunku Azizah membawa makna sebenar ‘Raja Berjiwa Rakyat’ kerana baginda Tuanku tidak kekok mengenepikan protokol dalam banyak perkara.

Termasuk dalam bidang kegemaran baginda iaitu memasak, Rizalman sempat bercerita bagaimana baginda pernah mencemar duli memasak di dapur kediaman Rizalman secara tiba-tiba dan tidak dirancang.

“Ketika Tuanku berangkat masuk ke rumah saya, ketika itu saya katakan kepada baginda bahawa saya teringin memakan masakan itu ini. Secara tiba-tiba, baginda berkata -  berikan saya ikan bilis, kicap, rempah dan sebagainya, dan baginda terus mula memasak (tanpa sebarang rancangan lebih awal).

“Ini menunjukkan baginda bukan seorang tukang masak yang dibuat-buat, atau tukang masak yang mengejar glamor dalam menghasilkan buku masakan, tetapi niat dan keikhlasan baginda untuk berkongsi tentang resipi rakyat, yang mana merupakan menjadi santapan raja di istana,” kata Rizalman lagi.

Jelas Rizalman, seringkali juga beliau menghantar mesej untuk bertanyakan kepada baginda tentang cara masakan dan resepi sesuatu juadah dan pertanyaan beliau dijawab baginda secara bersahaja.

Keterujaannya berkongsi mengenai sisi lain Raja Permaisuri Agong pada pandangan matanya, membuat Rizalman turut bercerita tentang makanan yang terhasil daripada ‘air tangan’ Tuanku sendiri, dan terus menjadi kegemarannya sehingga hari ini.

“Baginda bukan hanya pandai memasak juadah seperti nasi campur, tetapi mahir juga dalam bidang ‘baking’. Antara juadah yang saya suka adalah kek buah Tuanku dan kebiasaannya saya akan meminta diletakkan ceri lebih dan Tuanku akan susun ceri itu dalam susunan huruf 'R' bersempena nama saya.

“Kemudian kalau lauk-pauk pula saya suka asam nenas yang diletak udang, dan ketika berkunjung di rumah saya, juadah itu yang dimasak Tuanku untuk tetamu tetamu saya,” katanya lagi.

Tambah Rizalman, lauk-pauk kampung merupakan makanan kegemaran baginda dan baginda juga kurang gemar juadah barat walaupun berdarah kacukan dan berstatus kerabat diraja.

Sumber: Astro Awani
 

Advertisement

Must-Watch Video