Konsert yang berlangsung selama hampir satu jam 30 minit tidak terasa kerana kemerduan alunan suara dan kehangatan tenaga yang diberikan oleh kelima-lima anggota Ruffedge iaitu Azan, Zain, Mode, Sein dan Cat Farish.

Berlangsung tepat jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur, konsert dimulakan dengan persembahan pembukaan lagi Khayalan dan Tiada Lagi Cinta.

Diiringi kumpulan pemuzik oleh Datuk Acis sebagai pengarah muzik, persembahan sulung Ruffedge di DFP menyaksikan kuintet popular ini membawa peminatnya menyelusuri memori lagu-lagu hit seperti Bila Rindu, Lemas, Seperti Mereka dan banyak lagi.

Dalam pada itu juga, setiap anggota Ruffedge turut mempamerkan kekuatan vokal masing-masing menerusi persembahan solo yang memberi penghormatan kepada penyanyi popular lain.

Boleh dikatakan seluruh peminat di dalam dewan turut sama menyanyikan lagu-lagu hit mereka dan suasana menjadi sangat bertenaga.



Dalam perkembangan lain, Ruffedge bakal tampil dengan sebuah album terbaharu selepas kali terakhir mereka menghasilkan album Ruffera pada tahun 2005.

Menurut Syed Hussien, pembikinan album tersebut yang mengambil masa selama 2 tahun membuatkan mereka sangat teliti dalam penghasilannya.

“Sebenarnya album ni kami dah siap hujung tahun 2021 tapi dengan PKP selama dua tahun, kami merasakan waktu itu bukan masa yang terbaik untuk keluarkan album.

“Jadi bila tiba rezeki untuk kami keluarkan album, insya-Allah kita jangka dalam sebulan atau dia bulan lagi untuk kita buat video muzik dan album dengan 12 lagu akan tiba kepada semua peminat tak lama lagi,” ujarnya kepada Gempak.

Mereka semua ditemui pada majlis sidang media sejurus selepas tamat konsert.

Sungguhpun begitu, Ruffedge melahirkan rasa terharu mereka apabila semua tiket konsert telah berjaya dijual dan sambutan yang diterima sangat tidak dijangka.

“Alhamdulillah, tak sangka boleh sold out sebab asalnya konsert ni ditangguh sebab PKP. Syukur sangat kami dapat masuk ke dalam senarai persembahan di DFP ni sebab ada penyanyi yang dah terkeluar senarai membuat persembahan,” jelas Azan lagi.