Laman Utama
Tinggal Dalam Khemah Dengan Suhu -1, Inteam Tahan Sejuk Dalam Cabaran 12 Jam Di Syria, Demi Kutip Dana RM1 Juta
“Walaupun dah ada pemanas, masih sejuk menggigil. Kini suhu -1 darjah celcius. Khemah memang nipis, tapi kami lakukan ini demi Syria.”
Itulah perkongsian kumpulan Inteam yang kini sedang memulakan Cabaran 12 Jam Tinggal Di Dalam Khemah bagi mengutip dana sebanyak RM1 juta dalam tempoh yang dinyatakan bagi membantu 100,000 penduduk di kem pelarian Syria.
“Biar kami sejuk takpe tapi ini cabaran kita bersama untuk membantu rakyat di Syria ini. Sama-sama merasai kepayah dan kesukaran saudara kita di Syria,” ujar salah seorang anggota Inteam, Hazamin di FB Live mereka sebentar tadi.
Menerusi kempen 12 Jam Syria ini, Hazamin, bersama Rahim dan Syahril akan tinggal di dalam khemah tersebut bermula jam 11 pagi sehingga 11 malam waktu Malaysia.
Bermula sekitar subuh waktu Syria, mereka bertiga mengenakan jaket tebal lengkap dengan snowcap selesai menunaikan solat sambil menunggu sinaran cahaya matahari menerangi keadaan sekeliling.
Tambah Hazamin lagi, dia yang sebelum ini pernah menjejakkan kaki ke sana cukup terkesan melihat kedaifan kanak-kanak tersebut berhadapan dengan musim sejuk.
“Saya pernah sampai seorang diri tahun lalu dan berasa sedih sehingga menitiskan airmata tengok sekolah mereka. Ia sebuah khemah berlantaikan lumpur dalam keadaan sejuk tanpa pemanas.
“Teringat keadaan kita di Malaysia walau diuji dengan pandemik masih mempunyai sekolah yang selesa. Boleh belajar secara online di rumah masing-masing," katanya.
Di samping itu juga, sepanjang 12 jam menahan sejuk, mereka yang sedang merasai kesejukan itu akan berinteraksi secara online dengan selebriti dan tokoh-tokoh dari Malaysia antaranya Mawi, Hafiz Hamidun, Alif Teega dan Aisyah Hijanah, Norman Hakim, Diana Amir, Datuk Seri Mahadi dan ramai lagi.
“Kami nak peminat, selebriti serta semua rakyat Malaysia menyokong dengan menonton secara 'live' di akaun rasmi Facebook Inteam dan berkongsi di Facebook masing-masing.
“Sasaran agak tinggi iaitu RM1 juta dan mungkin nampak agak susah, tapi kalau ramai yang menyokong dan berkongsi sebarkan live ini, tak mustahil ia dapat dicapai," kata Hazamin lagi.
Sehingga artikel ini ditulis, dana yang terkumpul berjumlah RM191,300.
Di ruangan komen, ramai wargamaya menitipkan doa dan kata-kata semangat agar kempen ini dipermudahkan dan berjalan lancar.
Dalam pada itu, Inteam akan turut mengambil kesempatan membuat penggambaran muzik video lagu Selimut Kasih ciptaan Syahril dan lirik Fedtri Yahya semasa di sana.
Must-Watch Video