Berita
Tiru Aksi Tindih Leher, Remaja Luar Negara Lakukan 'George Floyd Challenge' Dikenakan Tindakan
Minggu lalu rusuhan kaum di Amerika Syarikat tercetus apabila seorang warga Afrika-Amerika George Floyd meninggal dunia selepas sukar bernafas akibat lehernya ditekan oleh lutut anggota polis Minneapolis, Minnesota.
Kejadian itu telah mendapat perhatian masyarakat dunia yang memperjuangkan keadilan dan kesemarataan hak sesama manusia tanpa mengira kaum dan warna kulit.
Walaubagaimanapun, terdapat segelintir golongan remaja luar negara yang tidak bertanggungjawab melakukan aksi menindih rakan mereka dengan lutut sebagaimana Floyd ditindih sehingga menghembuskan nafas terakhir.
Memetik laporan Business Insider, aksi yang dinamakan 'George Floyd Challenge' itu telah mendapat kecaman dari rata-rata wargamaya seluruh dunia. Malah laman sosial seperti Facebook dan Instagram juga telah menghilangkan hasil carian #GeorgeFloydChallenge.
Beberapa foto paparan skrin perbuatan keji itu juga masih tersebar dengan luas di Twitter dan Facebook dengan kebanyakannya diambil daripada aplikasi Snapchat.
Dalam pada itu, jurucakap Twitter ada mengeluarkan kenyataan mengatakan 'George Floyd Challenge' telah melanggar peraturan kerana memaparkan aksi mencederakan diri dan keganasan.
"Kami mengambil tindakan keatas tweet yang menggalakkan perkara ini, begitu juga dengan tweet yang menerangkan tentang kelakuan ini," jelasnya.
Jurucakap Facebook juga memaklumkan laman sosial itu telah membuang perkongsian 'George Floyd Challenge' kerana telah melanggar ketetapan standard komuniti.
Antara yang ditahan oleh pihak polis adalah dua remaja lelaki di England Utara yang berusia 18 dan 19 tahun kerana foto mereka melakukan aksi itu tersebar di Facebook dan Twitter.
Seorang lelaki berusia 26 tahun di Scotland juga telah berjaya ditahan polis kerana didapati terlibat melakukan perbuatan itu.
Sumber : Business Insider
Must-Watch Video