Skip to main content

Berita Antarabangsa

Toyota GR Supra GT4 versi perlumbaan yang boleh didapati Mac tahun depan

toyota-gr-supra-gt4-drebar-mi.jpg
Anda mungkin masih ingat yang Toyota pernah mendedahkan model konsep GR Supra GT4 pada Mac lalu. Jentera lumba itu kini disahkan sedia untuk memasuki fasa pengeluaran dan seterusnya dijual kepada pasukan-pasukan lumba.

Toyota mengesahkan bahawa GR Supra GT4 boleh didapati bermula pada Mac tahun hadapan bagi Eropah, diikuti dengan Amerika Utara pada Ogos serta Jepun dan Asia pada Oktober.



Seperti yang dijangka, jentera lumba ini tampil dengan enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang telah ditala untuk menghasilkan 430hp dan 650Nm, iaitu 90hp dan 150Nm lebih tinggi berbanding model yang dijual kepada awam.

Enjin ini bukan sahaja lebih berkuasa malah dikatakan mempunyai ngauman yang lebih garang dengan adanya sistem ekzos perlumbaan Akrapovic.
GR Supra GT4 hanya ditawarkan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan yang hadir bersama dengan ‘paddle shifter’ dan Limited Slip Differential perlumbaan.



Bagi memantapkan pengendalian, Toyota menggunakan peredam hentak boleh laras KW pada gandar hadapan dan belakang sebagai sokongan kepada sistem suspensi asal yang terdiri daripada topang MacPherson dan ‘multilink’.

Sistem brek terdiri daripada cakera berukuran 390mm di hadapan dan 355mm di belakang serta angkup Brembo, manakala roda yang digunakan adalah keluaran OZ bersaiz 18 inci yang dipadankan dengan tayar Pirelli. Turut disertakan adalah Traction Control dan ABS perlumbaan.



GR Supra GT4 dilengkapi dengan splitter hadapan dan spoiler yang diperbuat daripada gentian komposit asli. Menurut Toyota, ini membantu jentera ini mengurangkan beratnya kepada 1,350kg.

Masuk ke bahagian dalam, terdapat kerusi perlumbaan FIA dengan abah-abah enam poin, serta papan pemuka gentian karbon yang menempatkan ‘data logger’ dan paparan 8 inci. Sangkar perlindungan dan pemadam api adalah antara beberapa ciri keselamatan yang disediakan.



Berminat? Jika anda mempunyai pasukan lumba, GR Supra GT4 ditawarkan pada harga bermula dari €175,000 (RM813,084).
 

Must Watch Video

Advertisement