ANTARABANGSA
Toyota Supra Versi Output Yang Lebih Berkuasa Lancar Di Malaysia, Harga Bermula RM589,987
Selepas diperkenalkan pada peringkat global sebelum ini, Toyota GR Supra dengan enjin yang menerima pertambahan output kini sudah boleh didapati di negara ini.
Enjin 3.0 liternya kini menerima pertambahan output yang akan memberikan prestasi lebih baik untuk dinikmati semua pemandu.
Peningkatan berkenaan tertumpu kepada enjin enam-silinder turbocas yang digunakan, dengan kini menghasilkan 285 kW (388 PS) kuasa antara 5,800 dan 6,500 rpm; peningkatan sebanyak 14 peratus.

Barisan jurutera meningkatkan output tidak hanya melalui talaan semula, tetapi membabitkan penambahan manifold ekzos dua cabang utama dengan enam port (berbanding hanya dua) yang bertujuan memperbaiki pengurusan haba enjin. Rekaan piston baru juga mengurangkan nisbah mampatan enjin daripada 11:1 kepada 10.2:1.
Dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF sebagai standard, tempoh pecutan 0-100 km/j kini menjadi 4.1 saat, berbanding 4.3 saat sebelum ini.

Warna badan Deep Blue Metallic kini tidak lagi ditawarkan, tetapi pelanggan masih boleh memilih dari tujuh warna lain — Prominence Red, Lightning Yellow, White Metallic, Silver Metallic, Ice Grey Metallic, Black Metallic dan Matte Storm Grey Metallic.
Dijual pada harga bermula RM589,987 (dengan pengecualian cukai jualan dan tidak termasuk insurans) dan RM611,880 (tanpa pengecualian cukai jualan dan tidak termasuk insurans).

Must-Watch Video