Aktor hebat Shaheizy Sam mengakui memperlahankan kariernya sebagai pelakon bagi mencari kepuasan dalam bidang perniagaan.

Menurut Sam, dia tidaklah menolak terus sebarang tawaran lakonan yang datang cuma lebih mengamalkan sikap selektif dalam memilih karya.

“Tawaran yang diterima memang banyak tapi ramai mengetahui Sam memang nak slow down dalam lakonan. Tapi Sam tetap akan berlakon cuma Sam akan memilih karya dan pengarah yang bagus, skrip yang berkualiti, Sam akan buat.

“Sejak dari tahun 2015 lepas Polis Evo yang pertama Sam dah mula slow down. Ada yang setahun dua filem, setahun satu. Bukan Sam tak suka bidang lakonan malah Sam cintakan bidang tersebut.

“Tetapi, Sam nak mencari kepuasan dalam bidang perniagaan. sehinggalah Sam jadi duta sebuah jenama ni dan belajar berniaga. Kini Sam dah dapat momentum berniaga, isteri pula memang berjaya dengan produk dia,” ujar Sam kepada Gempak.

Sam ditemui sewaktu majlis pelancaran produk terbaharunya Syoklat! SyokoTube yang diadakan di Putra Glass Hall, Selangor pada Jumaat.

Tambah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 menerusi filem Songlap ini, dia sendiri mahu pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan dan pada masa yang sama membantu mereka yang ingin mencari sumber kewangan lain dalam musim pandemik ini.

“Sam percaya bila orang rasa tube coklat ni, mereka akan percaya pada jenama ni. Setakat ni kami hanya menjual menerusi ejen sebab dalam situasi pandemik ni, orang nak cari pendapatan lebih.

“Kami buka untuk jadi ejen pun tak mahal dalam RM85 sahaja, kami bagi peluang untuk orang cuba. Kami dah ada ejen di seluruh Malaysia dan sehingga kini ia telah terjual lebih 100,000 tube dalam masa dua minggu,” ujar Sam lagi.