Tayangan episod dua Projek: Anchor SPM, Isnin lalu mungkin membuatkan ramai tersenyum apabila akhirnya watak Aaida lakonan Daiyan Trisha bersetuju untuk menjadi ‘anchor’ dalam peperiksaan nanti.

Rata-rata penonton dilihat berpuas hati dengan apa yang dipaparkan setakat ini.

Namun, baru-baru ini pengarahnya Razaisyam Rashid seakan memberi bayang mengenai episod tiga yang berkemungkinan lebih dramatik.

“Tunggu episod tiga please” katanya ringkas menerusi Twitter.

Menerusi trailer episod tiga yang ditayang baru-baru ini, dapat dilihat Aizat lakonan Aedy Ashraf kini berada di rumah Aaida.

Menerusi sedutan trailer tersebut juga, dapat dilihat pergelutan antara Aaida dan ayahnya.

Namun, apa yang lebih menarik terdapat juga babak yang seakan memaparkan elemen seram

Adakah kali ini penonton akan melihat kisah seram asrama?

Apakah pula halangan terpaksa dihadapi Aizat dan Aaida?

Anda kena tonton Projek: Anchor SPM drama premium terbitan Astro Originals yang ditayangkan di saluran Astro Citra setiap Isnin, jam 9.00 malam.

Sekadar info, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.