Pelik dan ganjil. Itu yang terjadi di Kampung Pida 7 dekat Jerlun, Kedah apabila seorang penternak haiwan terkejut apabila kambing miliknya bertanduk empat.

Mohd Yusri Che Man, 24 tahun, tidak menyangka anak kambing baka tempatan yang dibeli dari Perlis dua tahun lalu kini mempunyai keunikan.

Beliau berkata, pada mulanya kambing itu mengeluarkan dua tanduk sebelum dua lagi tanduk muncul di bahagian bawah tanduk sedia ada.

Katanya, bentuk tanduk itu juga unik kerana ianya membengkok ke bawah.

"Saya beli 25 ekor. Atas nasihat ayah saya, saya tidak jual anak kambing unik ini kerana mungkin kelebihan atau tuah. Tetapi saya tidak percaya semua itu.

"Saya simpan anak kambing ini sebab ia ganjil dan orang datang untuk melihat keunikan ini," katanya ketika ditemui Astro Awani.

Mohd Yusri menambah, walaupun ada yang ingin membeli pada harga yang tinggi, dia tidak menerima tawaran itu.

Beliau juga tekad tidak akan menjual kambing itu kerana menganggap ia merupakan kurniaan Allah SWT.

Sumber: Astro Awani