HIBURAN
Ucapan Noor Nabila Sempena Hari Bapa Buat Sharnaaz Ahmad Penuh Makna - “Terima Kasih Kerana Tak Pernah Hilang”
Usahawan, Noor Nabila mencuri tumpuan apabila memuat naik ucapan selamat hari bapa kepada kepada bekas suaminya, pelakon terkenal Sharnaaz Ahmad, hari ini.
Menerusi muat naik penuh menyentuh hati itu, Nabila mengungkapkan rasa syukur dan terima kasih atas kehadiran serta komitmen Sharnaaz sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab dan penyayang.
“Terima kasih kerana menjadi seorang ayah yang hebat kepada anak kita. Kerana hadir dengan sepenuh hati, masa dan kehadiranmu.
“Kau telah memberikan sesuatu yang sangat berharga kepadanya… kasih sayang, konsistensi, dan rasa bangga terhadap siapa ayahnya.
“Berkongsi tanggungjawab sebagai ibu bapa denganmu bukan sekadar tentang melakukan perkara yang betul. Ia tentang kematangan dan memilih kedamaian, semata-mata demi Jayden,” coret Nabila.
Dalam masa sama, Nabila turut mengakui hubungan mereka terus berkembang, bukan hanya sebagai ibu bapa tetapi juga sebagai sahabat demi memastikan Jayden membesar dalam kasih sayang yang lengkap.
“Syukur Alhamdulillah… aku amat bersyukur, bersyukur atas dirimu, atas kerjasama kita.
“Dan cara kita berkembang, bukan hanya sebagai ibu bapa, tetapi juga sebagai sahabat.
“Terima kasih kerana tidak pernah menghilang. Kerana terus bertumbuh dalam perananmu. Kerana membuat Jayden merasa dia ada kedua-dua ibu bapanya. Menyayanginya sepenuhnya,” tulisnya lagi.
Untuk info, Noor Nabila pernah mendirikan rumah tangga bersama Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017. Namun, membuat keputusan untuk bercerai pada 9 Julai 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.
Must-Watch Video