Berita

Ujian Swab COVID-19 Tak Batalkan Puasa - Mufti Perlis

gempak
Asraf Aided
21/04/2020
09:14 MYT
Sponsor Banner
Ujian Swab COVID-19 Tak Batalkan Puasa - Mufti Perlis
Ujian swab yang dilakukan untuk membuat saringan jangkitan wabak COVID-19 disahkan tidak membatalkan puasa bagi umat Islam yang menjalani ibadah itu.
Memetik laporan BH Online, perkara itu dimaklumkan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam sebuah kenyataan hari ini.
Menurut Asri, kaedah yang digunakan oleh petugas kesihatan melakukan ujian tersebut dengan memasukkan peralatan khusus ke dalam rongga hidung dan belakang anak tekak dengan kedalaman tertentu tidak membawa persamaan kepada perbuatan makan dan minum.
"Puasa seseorang individu sah secara yakin dan tidak boleh dianggap batal hanya kerana timbul satu syak atau andaian.
"Pandangan yang menguatkan ujian swab tidak membatalkan puasa adalah bertepatan dengan pandangan sebahagian ulama Hanafi kerana syarat bagi sesuatu yang masuk ke rongga dalam mestilah bersifat kekal di dalamnya serta tidak mempunyai sambungan dengan alatan lain di luar badan," katanya.
Asri juga menambah, di dalam Al-Majma' Al-Fiqhi Al-Islami sudah menyenaraikan beberapa isu dan mekanisme perubatan yang tidak membatalkan puasa.
"Antara perkara yang tidak membatalkan puasa adalah memasukkan teropong perut ke dalam perut tanpa sebarang bendalir atau seumpamanya.
"Maka demikian, ujian swab yang hanya membabitkan proses memasukkan alat khusus ke dalam rongga hidung atau mulut bagi mendapatkan sampel lalu dikeluarkan semula juga tidak membatalkan puasa," katanya lagi.
Sumber : BH Online Kredit Foto : mStar
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024