Upiak Menangis Teresak-Esak Fazley Tersingkir, Air Mata Bukti Sayangnya Pada Abang Asmara - "Dia Sedih Mungkin Sebab..."
Penyingkiran Datuk Fazley Yaakob pada konsert Gegar Vaganza lapan (GV8) minggu keempat malam tadi, ternyata memberi impak cukup besar untuk penyanyi Upiak Isil.
Pertemuan secara tidak diduga antara Upiak dan Fazley usai konsert keempat semalam menjadikan pekarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) 'dibanjiri' dengan tangisan penyanyi Indonesia itu.
Difahamkan, momen penuh emosi itu berlaku ketika Upiak sedang memasuki kenderaan.
Bagaimanapun, kehadiran Fazley yang secara tiba-tiba melalui jalan sama menyebabkan Upiak terus dilanda emosi, sekali gus mengalirkan air mata.
Dalam sekelip mata, suasana pekarangan PICC yang sebelum ini ceria terus bertukar hiba.
Menurut Fazley, kesedihan dialami Upiak itu terjadi kerana hubungan antara mereka berdua sangat rapat.
"Dalam GV saya paling rapat dengan dua orang iaitu Bandi Amuk dan Upiak. Upiak ni rapat sebab kami sebenarnya satu kampung dekat Bukit Tinggi
"Atuk saya belah ibu memang daripada situ dan kebetulan kampung Upiak sebelah-sebelah je.
"Upiak pun banyak cabarannya di sini, banyak masalah dihadapi, jadi Upiak bercerita pada abang.
"Banyak perihal masalahnya. jadi saya banyak bagi semangat, kekuatan, bantu bagi dia keyakinan bila dia down, pasal baju la, show la," katanya.
Jelas Fazley, disebabkan semua itu, hubungan mereka semakin rapat dan Upiak menganggapnya sebagai abang.
"Jadi mungkin kesedihan tadi dia rasa kehilangan sebab dah tak ada abang dalam GV," katanya.
Untuk rekod, Datuk Fazley Yaakob menjadi bintang Gegar Vaganza 8 (GV8) kedua tersingkir pada konsert keempat yang berlangsung sebentar tadi.
Bertemakan Berdiri Bulu Romaku, Fazley yang menyanyikan lagu Mahligai Syahdu hanya mampu menerima markah 50% berbanding bintang lain.
BACA: Tamat Sudah Perjuangan Fazley, Abang Asmara Tersingkir Minggu Ke-4!
Dihoskan oleh Jihan Muse dan Nabil Ahmad, GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.
GV8 turut menampilkan Datuk Ramli MS dan mengembalikan Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap dan akan dibantu juri jemputan setiap minggu.
Teruskan menonton GV8 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.
Rangkaian program GV8 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’ yang akan disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang bermula 15 November.
Bagi yang terlepas untuk menonton, program ‘Kompilasi Kapsul Gegar Vaganza S8’ akan disiarkan khas pada setiap hari Sabtu, jam 7.00 malam mulai 20 November 2021.
Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV8’ bermula 21 November 2021.
Dalam pada itu, Program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) terbitan Astro Ria telah dinobatkan sebagai Program Muzik/Tarian Terbaik Asia di Asian Academy Creative Awards 2021 (AACA 2021) yang berlangsung di Singapura pada 3 Disember lalu.